Bank Negara diarah sedia RM5 bilion bantu PMKS - PM
- Helmi Mohd Foad

- Apr 21
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan kemudahan khas RM5 bilion sebagai sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) dalam menghadapi tekanan kos dan gangguan rantaian bekalan global.
Langkah terbaharu itu menjadikan keseluruhan sokongan kewangan kepada PMKS kini mencecah RM10 bilion selepas mengambil kira jaminan RM5 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang diumumkan sebelum ini.
Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat susulan sesi libat urus bersama ketua pegawai eksekutif institusi perbankan bagi menyelaras tindakan lebih tegas dan tersusun dalam membantu PMKS yang terkesan akibat krisis tenaga global serta konflik Asia Barat.
"Saya telah mengarahkan Bank Negara Malaysia memperkenalkan Kemudahan Khas berjumlah RM5 bilion untuk disalurkan melalui sektor perbankan kepada PMKS yang terkesan.
"Ini melengkapi jaminan RM5 bilion di bawah SJPP yang diumumkan sebelum ini, menjadikan keseluruhan sokongan kewangan kepada PMKS kini mencecah RM10 bilion," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun asas ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelewatan dalam menangani tekanan yang dihadapi sektor kritikal berkenaan.
"Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelewatan dalam menangani tekanan yang dihadapi sektor kritikal, khususnya PMKS yang menjadi tunjang ekonomi negara," ujarnya.
Menurut beliau, akses kepada kemudahan pembiayaan itu perlu diperluaskan secara adil dan menyeluruh termasuk kepada PMKS baharu yang benar-benar memerlukan modal kerja dan bantuan kecairan.
"Saya turut menegaskan bahawa akses kepada kemudahan ini mesti diperluaskan secara adil dan menyeluruh, termasuk kepada PMKS baharu yang benar-benar memerlukan," kata beliau.
Dalam masa sama, Perdana Menteri menggesa institusi perbankan digesa memainkan peranan lebih proaktif dalam menyokong kelangsungan perniagaan domestik dan tidak mengambil pendekatan terlalu sempit terhadap permohonan pembiayaan.
"Institusi perbankan tidak boleh mengambil pendekatan sempit sebaliknya mesti memikul tanggungjawab sebagai rakan strategik dalam memastikan kelangsungan ekonomi domestik," jelas beliau.
Katanya PMKS merupakan penyumbang utama kepada guna tenaga dan aktiviti ekonomi tempatan.
Justeru itu, Perdana Menteri berkata langkah mempercepat akses pembiayaan dijangka membantu mengekalkan aliran tunai syarikat, melindungi pekerjaan serta menyokong pertumbuhan domestik dalam persekitaran global yang mencabar.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada kestabilan ekonomi dan perlindungan sektor perniagaan tempatan.
"Kerajaan MADANI akan terus bertindak dengan ketegasan, disiplin dan keutamaan yang jelas untuk melindungi perniagaan tempatan, menjamin pekerjaan rakyat dan memastikan ekonomi negara kekal stabil serta berdaya tahan," katanya lagi.




Comments