Banjir Thailand: Kerajaan pastikan rakyat M'sia terkandas selamat pulang
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan sedang melaksanakan beberapa usaha bagi memastikan rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai, Thailand susulan banjir teruk melanda kawasan itu, dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis Thailand sememangnya mempunyai hubungan kerjasama bagi saling membantu dalam urusan berkaitan.
"Beberapa usaha sedang berjalan, tapi seperti Datuk Seri Anwar telah nyatakan, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (PM) Thailand, Anutin Charnvirakul atas bantuan untuk mengutamakan juga rakyat Malaysia dalam usaha menyelamat mereka yang terkandas.
"Jadi, ada beberapa usaha sedang berjalan untuk memastikan semua dapat dibawa pulang," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan seramai 1,459 rakyat Malaysia yang terjejas banjir di Hatyai telah berjaya dipindahkan dengan selamat ke pintu sempadan Bukit Kayu Hitam (BKH) melalui operasi bersepadu yang diselaraskan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.
Menurut kenyataan KLN hari ini, pemindahan besar-besaran itu melibatkan rakyat Malaysia yang menginap di lebih 25 hotel sekitar Hatyai dan telah dilaksanakan sejak semalam dalam keadaan terkawal serta teratur.
Wisma Putra memaklumkan kejayaan itu dicapai hasil kerjasama erat antara Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Tentera Diraja Thailand serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang terlibat secara langsung dalam misi menyelamat.









Comments