Banjir Sg Buloh: Lebih 500 rumah terjejas, Dewan Siantan dibuka sebagai PPS


Lebih 500 rumah di sekitar Sungai Buloh, khususnya Kampung Melayu Subang, terjejas akibat banjir susulan hujan lebat yang melanda kawasan itu malam tadi.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan berkata, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh bersama sukarelawan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk terjejas diberikan perhatian.
Beliau berkata, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dikenal pasti untuk menempatkan mangsa banjir, iaitu Dewan Siantan Kampung Melayu Subang.
"PPS ini akan beroperasi sepanjang tempoh yang diperlukan bagi memastikan penduduk terjejas mendapat perlindungan dan bantuan sewajarnya," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut Ramanan, antara agensi yang terbabit dalam penyelarasan bantuan ialah Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Shah Alam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta JPKK Kampung Melayu Subang.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan keperluan asas penduduk yang terjejas dapat dipenuhi sepanjang tempoh banjir.
Ramanan turut mengingatkan penduduk Sungai Buloh supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca semasa, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.
"Saya juga menyeru seluruh penduduk Sungai Buloh agar sentiasa berwaspada terhadap keadaan cuaca, mengikuti arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir.
"Keselamatan rakyat adalah keutamaan kita," katanya.
Beliau berkata, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh akan terus memantau perkembangan banjir dan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan tiada penduduk terjejas tercicir daripada menerima bantuan yang diperlukan.




Comments