top of page

Banjir Serian: Sistem agihan bantuan lebih baik, harap semua berjalan lancar

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Jan 15
  • 2 min read

Bruce (berjaket biru) melawat mangsa banjir di PPS Serian
Bruce (berjaket biru) melawat mangsa banjir di PPS Serian

Seramai 325 mangsa banjir daripada 95 Ketua Isi Rumah (KIR), setakat semalam, ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Serian selepas kawasan Kampung Hilir dan Kampung Hulu di daerah tersebut dilanda banjir besar.


Pengerusi Biro Kebajikan dan Bencana KEADILAN Sarawak, Bruce Yee Chin Kui berkata, beliau telah mengadakan lawatan ke PPS tersebut bagi meninjau keadaan semasa dan kebajikan mangsa banjir yang terlibat.


"Hari ini (semalam) saya telah mengadakan lawatan ke PPS Dewan Masyarakat Serian untuk meninjau situasi mangsa-mangsa banjir dari Kampung Hilir dan Kampung Hulu yang ditempatkan di sini sejak dua hari lalu," katanya dalam muat naik media.


Menurut beliau, semua KIR yang berdaftar di PPS diwajibkan mendaftarkan diri melalui aplikasi MyIBJKM yang dikendalikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bersama sukarelawan bantuan bencana banjir di PPS
Bersama sukarelawan bantuan bencana banjir di PPS

"Melalui aplikasi MyIBJKM, KIR hanya perlu mendaftarkan satu akaun peribadi, mengisi maklumat seperti nombor kad pengenalan, alamat, nombor akaun bank sendiri, maklumat ahli isi rumah serta daftar masuk PPS dengan imbasan kod QR," jelasnya.


Beliau berkata, permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 juga boleh dibuat terus melalui aplikasi berkenaan tanpa perlu mengisi borang fizikal atau menyerahkan salinan dokumen seperti tahun tahun terdahulu.


"Apabila bahagian permohonan BWI bertukar warna daripada merah kepada hijau, ini bermaksud proses permohonan RM1,000 telah lengkap dan selesai," katanya.


Bruce turut memaklumkan bahawa menurut pegawai JKM yang bertugas di PPS tersebut, mangsa banjir yang terkesan tetapi memilih untuk tidak tinggal di PPS masih dibenarkan mendaftar melalui aplikasi MyIBJKM bagi melayakkan mereka memohon BWI.


Mengulas lanjut, beliau berkata sistem MyIBJKM merupakan inisiatif baharu Kerajaan MADANI bagi menggantikan kaedah lama pengurusan data mangsa banjir yang bergantung kepada borang fizikal dan salinan dokumen.


Walau bagaimanapun, Bruce menyuarakan kebimbangan terhadap perbezaan kefahaman antara NADMA, JKM dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di pelbagai peringkat berhubung syarat kelayakan mangsa banjir menerima BWI.


"Di peringkat PPS, ada sebahagian PPS membenarkan mangsa-mangsa banjir di kawasannya untuk mendaftarkan diri mereka dalam sistem app MyIBJKM untuk memohon BWI@ RM1000 walaupun mereka akhirnya memilih tidak tinggal di PPS berkenaan," katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak berkaitan agar memperhalusi dan menyelaraskan syarat kelayakan bagi mengelakkan kekeliruan serta kelewatan pembayaran bantuan.


"Saya menyeru NADMA, JKM dan JPBNS untuk memperjelaskan isu ini supaya kelewatan pembayaran BWI sehingga berbulan-bulan seperti yang berlaku sebelum ini tidak berulang," tegasnya.


Justeru, Bruce berharap tidak berlaku kelewatan dalam memproses dan menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir sebagaimana tahun lalu.


"Semoga masalah-masalah dan kelewatan pembayaran BWI@ RM1000 kepada mangsa banjir sehingga sembilan bulan lewat seperti tragedi awal tahun lepas tidak berulang lagi," katanya.


Di samping itu, beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JKM, APM, BOMBA, RELA, PDRM, JPBD, SESCO serta NGO yang bertungkus lumus memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa banjir terjaga.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page