Banjir: Parlimen Serian paling teruk terjejas, mangsa perlu bantuan segera
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Pengerusi Biro Kebajikan dan Bencana Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak, Bruce Yee Chin Kui, menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat daerah serta agensi berkaitan agar segera mengambil tindakan susulan terhadap keluhan mangsa banjir di Kampung Tebakang Melayu, Serian yang didakwa kurang diberi bantuan dan perhatian sewajarnya.
Bruce berkata, beliau telah mengadakan lawatan ke kampung berkenaan bagi memantau situasi banjir, kerja-kerja pasca banjir serta mendengar sendiri keluhan mangsa yang terkesan.
"Setakat 11 Januari 2026, Parlimen Serian mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi di Sarawak iaitu seramai 2,311 orang daripada 700 Ketua Isi Rumah (KIR), dengan 25 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan jumlah mangsa banjir yang besar," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, paras air di Kampung Tebakang Melayu - salah satu kawasan teruk terjejas - telah melebihi dua meter dan bertakung selama dua hari sebelum mula surut pada pagi lawatan berkenaan.
"Saya amat bersimpati dengan kerosakan harta benda mangsa2 banjir yang tak sempat diselamatkan dan dipindahkan seperti parabot rumah, perkakas elektrik, kenderaan, dokumen penting peribadi, tanaman, kematian ternakan dan lain-lain," ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penduduk kampung berkenaan berdepan banjir besar hampir setiap tahun, dengan setiap kejadian meninggalkan timbunan lumpur dan pasir setebal sehingga dua kaki di kawasan rumah.

Bruce melahirkan rasa terkilan apabila dimaklumkan bahawa mangsa tidak diarahkan berpindah ke PPS, sebaliknya terpaksa berlindung di tingkat atas rumah sendiri atau rumah jiran yang lebih tinggi.
"Mereka juga terputus hubungan jalan raya selama dua hari dua malam akibat paras air yang tinggi dan deras," jelasnya.
Tambah beliau, mangsa banjir di kampung itu turut kecewa kerana sehingga kini belum menerima lawatan wakil rakyat, selain belum memperoleh sebarang bantuan kebajikan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Mereka tidak dinasihatkan untuk mendaftar dalam sistem MyIBJKM bagi melayakkan diri menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 bagi setiap KIR."
Sehubungan itu, Bruce menyeru agar semua agensi berkaitan memastikan mangsa banjir di Kampung Tebakang Melayu diberikan layanan yang adil dan saksama.
"Mangsa banjir di kampung ini tidak seharusnya diketepikan dan mesti diberikan bantuan seperti mangsa banjir di kawasan lain," katanya lagi.
Beliau mendoakan agar semua mangsa banjir di seluruh Sarawak terus tabah dan kuat menghadapi tragedi banjir yang berulang hampir setiap tahun.









Comments