Banjir: Kerajaan rakam penghargaan Agong kurnia kebenaran guna dua bot peribadi
- Suara Keadilan
- 5 minutes ago
- 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan ke atas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berkenan mengurniakan kebenaran kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan dua 'air boat' berkuasa tinggi milik Baginda untuk tujuan operasi menyelamat mangsa banjir.
Perdana Menteri berkata kurniaan tersebut menunjukkan keprihatinan tinggi baginda terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat khususnya di kawasan terjejas.
"Bagi pihak kerajaan, saya merafak setinggi-tinggi penghargaan atas dukungan ini yang akan memperkukuh kesiapsiagaan serta melancarkan gerak kerja penyelamatan bersama agensi-agensi di lapangan jika berlaku gelombang kedua musibah banjir nanti.
"Semoga dengan ikhtiar dan kerjasama semua pihak, usaha membantu mangsa banjir dapat dipertingkat dan keselamatan rakyat terus terpelihara," kata Anwar dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu Sultan Ibrahim bertitah baginda berkenan mengurniakan kebenaran kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan dua bot udara itu sebagai antara aset operasi menyelamat ketika banjir.
Baginda menzahirkan perkenan itu berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, selain sebagai persediaan agensi keselamatan dalam melaksanakan misi menyelamat jika berlaku gelombang kedua banjir.
Kedua-dua bot tersebut ditempatkan di Istana Negara dan ia dilihat mampu meningkatkan kecekapan operasi, selain dapat mempercepatkan penghantaraan bantuan kecemasan, demikian titah Sultan Ibrahim di Facebook.
Pada Mac 2023, tiga bot udara milik Sultan Ibrahim digerakkan bagi operasi menyelamat, memindahkan serta membantu mangsa-mangsa banjir di Johor.





