top of page

Banjir: KDN sedia gerak anggota dari negeri lain bantu Johor

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Mar 4, 2023
  • 2 min read


ree

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengeluarkan arahan supaya anggota keselamatan di bawah kementerian itu memastikan bantuan kepada rakyat terlibat banjir di Johor tiba ke lokasi diperlukan seberapa segera yang mungkin.


Beliau yang ditemui pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Kluang berkata, dari segi kekuatan anggota, polis kontinjen Johor mempunyai keupayaan 4,000 lebih anggota yang bersedia untuk dikerahkan pada bila-bila masa.


"Itu 4,000 anggota yang tersedia dan sebentar tadi, saya ada berbincang dan memberi arahan terus kepada pimpinan polis negeri supaya bantuan itu dapat tiba dengan tepat pada masanya dengan misi utama untuk menyelamatkan nyawa.

"Kalau campur dengan agensi lain termasuk RELA, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan agensi lain sebagainya (bawah) KDN, itu sebenarnya sudah lebih menghampiri 7,000 orang," katanya.


Walau bagaimanapun tambahnya, pihak kementerian mengambil maklum keperluan Kerajaan Negeri Johor yang memerlukan kekuatan dan tenaga petugas tambahan memandangkan banjir yang melanda negeri itu secara relatifnya besar.


Sekiranya ada keperluan, KDN katanya sedia mengatur gerak pasukan polis dari negeri-negeri lain yang tidak terjejas.


"Ini termasuk menurunkan semua aset polis atau agensi lain di bawah KDN seperti kenderaan pacuan empat roda, lori, bot pelampung dan tali penyelamat dan sebagainya bagi memudahkan operasi penyelamatan," jelas Setiausaha Agung KEADILAN itu.


Banjir di Johor kali ini disifatkan sebagai terburuk sejak 2006 dengan setakat petang semalam 32,870 mangsa terkesan dengan insiden itu.


Sebanyak 219 PPS beroperasi di kesemua 10 daerah dengan Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 12,258 orang dari 3,511 keluarga dipindahkan ke 78 PPS


Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera RM50 juta untuk Johor bagi tujuan melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak disebabkan bah serta membantu mangsa.


Anwar ketika mesyuarat Kabinet semalam turut mengarahkan menteri yang tidak mempunyai jadual penting supaya segera turun bagi melihat sendiri keadaan banjir di Johor dan membuat laporan langsung kepada beliau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page