Banjir di sebahagian parlimen Kapar sejak 3 hari lalu menyukarkan rakyat untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke 15 ini.
Menurut calon Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, lebih mengecewakan kerana beliau selaku calon mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak dibenarkan menghulurkan bantuan, dan dianggap salah di bawah peraturan berkempen.
"Daya ke Taman Sentosa bersama pimpinan KEADILAN Cabang Kapar melihat sendiri keadaan banjir yang menjejaskan kehidupan harian.
"Ramai yang bertanya berkenaan bantuan, saya maklumkan semasa berkempen calon dan parti tak boleh beri sebarang bantuan dan memang tidak dibenarkan oleh SPR.
"Mujurlah Dewan Negeri Selangor masih belum dibubarkan dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru akan menggerakan bantuan yang perlu," katanya.
Tambah Abdullah, pendirian PH tidak membubarkan DUN sebelum ini amat tepat dan pemimpin Kerajaan Negeri mempunyai kuasa penuh untuk mengarahkan jentera kerajaan menghadapi banjir.
"Bilik gerakan bencana PTD Klang telah diaktifkan.
"Semoga hari esok dan seterusnya kita akan mengalami cuaca yang baik.
"Sila jaga diri keselamatan semua. Doakan yang terbaik buat Kapar," katanya lagi.
Banjir di parlimen Kapar bermula pada petang Khamis lalu dan sehingga hari ini masih ada kawasan rendah digenangi air.
Comments