Kerajaan Persekutuan dan negeri diminta menubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung kejadian banjir besar yang menghanyutkan ribuan kayu balak di sungai Telemong, Pahang pada pertengahan Disember lalu.
Banjir besar yang mengorbankan lebih 20 nyawa tersebut, menurut ADUN Semambu, Lee Chean Chung tidak boleh ditunding kepada faktor alam semata mata, terutama melibatkan balak hanyut yang merempuh rumah penduduk kampung di beberapa lokasi seperti Karak dan Bentong.
Katanya, jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan boleh memastikan penggondolan hutan dan menjadi salah satu faktor banjir itu apakah disedari oleh kerajaan, akibat pencerobohan atau kecuaian pihak yang mengeluarkan lesen membalak.
"Penjelasan (pengusaha), dia kata balak itu hanyut sebab tidak dibenarkan untuk angkut keluar, ini penjelasan pengusaha.
"Penjelasan perhutanan (Jabatan Hutan) pula, mereka kata tidak ada pembalakan di hulu (sungai). Jadi semua ada maklumat dan bukti yang berbeza.
"Sebagai pemimpin, Menteri Besar perlu tampil ke depan, tubuh jawatankuasa dan siasat Jabatan Perhutanan, pengusaha balak atau siapa sahaja yang membuat keuntungan daripada kegiatan sebegini.
"(Pembalakan) salah satu faktor yang dipercayai menyumbang kepada banjir, wajib kita siasat, tidak kiralah ada faktor lain tetapi kena kira faktor manusia ini," katanya kepada Suara Keadilan.
Selain itu, Chean Chung juga sekali lagi menegaskan agar Kerajaan Negeri lebih kreatif mengubah punca utama hasil negeri itu yang terlalu bergantung kepada sumber mineral atau perhutanan dan mendedahkan kepada kerosakan alam sekitar.
"Saya kata dalam kenyataan sebelum ini, sebanyak 26% hasil kerajaan Pahang datang dari lombong dan balak. 26% ini tinggi," katanya.
Mengenai video tular oleh pencinta alam sekitar berkenaan lokasi pembalakan berhampiran kawasan gua dan lokasi bunga pakma yang dilindungi, Chean Chung tidak hairan dengan perkembangan itu kerana sebelum ini kawasan tadahan air di tasik Chini pun diteroka sehingga memasuki kawasan penampan.
"Saya tidak hairan, dulu tasik Chini, sampai ke tasik pun digondol. Jika ada keikhlasan kerajaan Pahang perlu memandang serius hal itu dan ambil tindakan memperbaiki kelemahan ini," katanya lagi.
Comments