top of page

Bangunan Lama Bernilai Sejarah Perlu Peraturan Jelas



Oleh: Andre Lai Chen Heng


PENDAPAT: Kuala Lumpur mungkin mempunyai banyak pencakar langit yang menjulang tinggi, tetapi yang lebih penting, negara kita juga mempunyai banyak bangunan lama yang bersejarah. Bangunan-bangunan ini menjadi saksi kepada perkembangan bandar ini, dan mereka merupakan warisan gemilang Kuala Lumpur pada zaman dahulu. Bawa kereta melalui pekan-pekan lama, pasti dapat melihat peninggalan bangunan rumah kedai lama yang berusia lebih daripada 100 tahun.


Namun, pada yang sama, bangunan-bangunan ini telah berada dalam keadaan yang tidak diselanggara dengan baik. Kebanyakkan bangunan-bangunan ini telah menghadapi isu keselamatan yang perlu kita ambil serius. Beberapa bangunan lama ini mungkin menghadapi masalah struktur, seperti baru-baru ini terdapat laporan di Kuala Lumpur mengenai papan tanda atau bahan binaan lama yang mengancam keselamatan pejalan kaki dan pelanggan. Ini adalah bahaya potensial kepada kita semua, terutamanya di kawasan bandar yang sibuk.


Perlu dasar jelas bangunan warisan


Walau bagaimanapun, peraturan semasa kelihatan tidak mencukupi untuk memastikan keselamatan bangunan-bangunan ini. Saya percaya bahawa tidak hanya Kuala Lumpur, tetapi juga bandar-bandar di seluruh Malaysia kurang mempunyai peraturan dan dasar yang jelas mengenai keselamatan bangunan warisan. Kita memerlukan lebih banyak peraturan dan dasar yang jelas yang menetapkan bahawa pemilik mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keselamatan bangunan mereka. Ini bukan sahaja untuk melindungi penduduk bandar, tetapi juga untuk melindungi warisan sejarah negara ini.


Saya membesar di Ampang dan sering menaiki bas di Jalan Ampang pada zaman 1980an dan 1990an. Sepanjang perjalanan dalam bas, saya masih ingat ada peninggalan bangunan-bangunan tinggalan zaman penjajahan British dahulu, seperti Bok House dan Bangunan RRIM.


Bangunan RRIM masih wujud, tetapi malangnya Bok House telah dirobohkan pada 2006 setelah gagal mendapat pengiktirafan sebagai bangunan warisan, meskipun ia mempunyai reka bentuk zaman Victoria yang begitu cantik. Terdapat banyak bangunan yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi di Kuala Lumpur yang telah lenyap seperti Hundred Quarters di Brickfields, Plaza Warisan di Jalan Sultan, Panggung Cathay di Jalan Bukit Bintang dan Sekolah St Mary di Jalan Tengah.


Hari ini, sebagai ahli Jawatankuasa Penasihat Warisan, Kesenian, Kebudayaan dan Sukan DBKL dalam bersama Datuk Afdlin Shauki sebagai pengerusi, saya mencadangkan supaya peraturan yang jelas dibentuk untuk memerlukan pemilik menjalankan pemeriksaan, penyelenggaraan, dan pembaikan berkala ke atas bangunan lama mereka.


Peraturan-peraturan ini seharusnya meliputi keselamatan struktur bangunan, keselamatan tanda-tanda, dan langkah-langkah keselamatan berkaitan. Jika pemilik tidak bekerjasama, pihak kerajaan tempatan sepatutnya mempunyai kuasa untuk meminta mereka bertindak, dan kos ditanggung oleh pemilik.


Pemilik bangunan warisan harus ambil insurans


Selain itu, kita harus menggalakkan pemilik untuk mendapatkan insurans yang berkaitan, terutamanya insurans "all-risks," untuk memastikan bahawa pelanggan di dalam kedai akan dilindungi jika berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini. Walaupun ini tidak semestinya menjadi syarat wajib, ia boleh mengurangkan risiko, dan pada masa yang sama, menggalakkan pemilik untuk memberikan penekanan lebih kepada isu keselamatan.


Kebelakangan ini, telah kelihatan banyak penaiktarafan nilai bangunan yang berlegasi ini di kawasan pelancongan seperti Ipoh dan Georgetown. Ada yang diberi pemerkasaaan struktur, ada juga yang dilukiskan grafiti atau mural. Bangunan bereka bentuk ala-Victorian mempunyai nilai sejarah dan budaya yang unik.


Kita perlu memastikan bahawa mereka dapat terus wujud dengan selamat untuk memperindahkan bandar kita. Dalam isu ini, setiap orang perlu berperanan secara aktif untuk memastikan bahawa bangunan lama Kuala Lumpur bukan sahaja cantik, tetapi juga selamat.


Akhirnya, saya berpendapat bahawa PBT seluruh negara, khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sepatutnya memainkan peranan aktif dalam isu ini. Kita boleh menetapkan lebih banyak dasar dan peraturan untuk memastikan keselamatan bangunan lama, dan pada masa yang sama, kita boleh memperkuatkan kerjasama dengan pemilik untuk membantu mereka memahami tanggungjawab mereka dan memberikan sokongan.


______________________________________________________________________________

Andre Lai Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page