Bandar Malaysia dibangun 50 tahun, rangkum semua lapisan masyarakat
- Suara Keadilan
- Feb 22
- 1 min read

Projek Bandar Malaysia seluas 196.67 hektar yang diambil alih oleh Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan dibangunkan secara terkawal untuk memastikan daya maju komersialnya dengan mengambil masa selama setengah abad, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata perancangan pembangunan projek itu mengambil kira fokus kerajaan terhadap keterangkuman semua lapisan masyarakat untuk menjadikan Bandar Malaysia sebuah bandar yang sesuai didiami serta menggalakkan integrasi sosial.
"Ini termasuk penyediaan 10,000 unit perumahan mampu milik dengan ruang terbuka dan taman, serta pemeliharaan sebahagian tanah seluas 50 ekar sebagai Tanah Rezab Melayu," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis sidang Dewan Rakyat yang disiarkan laman web Parlimen Malaysia.
"Berdasarkan saiz tanah Bandar Malaysia, keseluruhan pembangunan dijangka mengambil masa sekitar 50 tahun," katanya.
Anwar yang menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berkata projek Bandar Malaysia telah diambil alih oleh Kumpulan Petronas melalui penjualan tanah seluas 486 ekar oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) kepada KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH).
Jelasnya transaksi strategik ini telah dirunding antara dua syarikat berkaitan kerajaan tersebut atas dasar "willing buyer – willing seller” yang mengambil kira matlamat strategik dan sosial negara dalam pembangunan projek Bandar Malaysia untuk tempoh jangka Panjang.
"Pembangunan Projek Bandar Malaysia akan dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh KLCCH, iaitu KLCC Development Sdn Bhd (KLCCD).
"Sebagai pemaju, KLCCD merancang untuk mewujudkan sebuah pembangunan yang unik, inklusif dan berdaya huni, serta merangkumi aspek-aspek komersial, perumahan dan rekreasi yang berciri kelestarian," katanya.
Anwar berkata Kementerian Kewangan meyakini bahawa berdasarkan kepada pengalaman dan kepakaran KLCCD dalam pembangunan hartanah, syarikat itu mampu merealisasikan pembangunan Projek Bandar Malaysia sekali gus menambahkan nilai substantif kepada ekonomi negara sekali gus memberikan faedah kepada rakyat.
Comments