Bakar sentimen agama: 'Pemimpin politik jangan adu domba rakyat'


Oleh: Abdullah Zaid
Setelah hampir 67 tahun merdeka tunjang kekuatan negara adalah perpaduan dan keharmonian antara kaum.
Namun bagi Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari, sejak kebelakangan ini banyak pemimpin politik menjadikan isu sensitif perkauman dan agama sebagai alat adu domba rakyat tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada negara.
Kata Taufiq, ahli politik pembangkang masih tidak berfikiran matang sebagaimana rakan sejawatan mereka di negara maju yang mengutamakan negara dan kesejahteraan hidup rakyat berbanding cita cita politik peribadi.
"Pemimpin tugas dan amanahnya adalah mempersatukan bukan merobek dan memecahkan. Apabila budaya ekstrim mula dibakar, bara arangnya mula merebak.
"Kita perlu tegas dalam mempertahankan sesuatu prinsip, namun perlu betul pada tindakannya, bersikap sederhana tanpa merugikan negara," katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian mengulas insiden penjualan stoking tertera kalimah Allah yang ditemui di kedai serbaneka KK Mart sehingga bertukar kepada insiden membaling bom petrol di cawangan kedai serbaneka berkenaan.
Terdahulu, pengurusan KK Super Mart telah pun memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah itu.
Susulan itu, KK Mart menyaman vendor, Xin Jian Chang Sdn Bhd kerana didakwa mensabotaj perniagaan rangkaian kedai tersebut selain pihak KK Mart juga turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung insiden terbabit.
Insiden itu sekali gus menyaksikan tiga premis berkenaan diserang bom petrol dengan insiden pertama dan kedua di Perak (26 Mac) dan Pahang (29 Mac) serta disusuli di Kuching, Sarawak pada Ahad.
Mengulas lanjut, kata Taufiq, insiden penjualan stoking terbabit sememangnya menguris hati umat Islam di Malaysia.
Namun, ujar beliau, hal itu perlu disusuli dengan sikap bersederhana selain mematuhi lunas undang-undang negara.
"Kita perlu tegas dalam mempertahankan sesuatu prinsip, namun perlu betul pada tindakannya, bersikap sederhana tanpa merugikan negara.
"Hal itu kerana hari demi hari, banyak pihak yang mula menggunakan kekerasan seperti melempar bom buatan (molotov) kepada premis-premis justeru pihak PDRM perlu mengambil tindakan segera," ujarnya.
Tegas Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah itu, semua pihak perlu menolak fahaman keganasan daripada menjadi sebahagian daripada budaya bertindak balas masyarakat, dan boleh memecahkan perpaduan negara.
"Keganasan bukan cara kita menyelesaikan atau memperjuangkan sesuatu isu. Sesiapa yang bersalah, tak kira yang menghasut mahupun membuat perkara tersebut perlu dikenakan tindakan.
"Semua pihak perlu berganding bahu, jangan kita gadaikan keharmonian demi kepentingan dan agenda politik peribadi," tegas Taufiq.




Comments