Bakar karikatur: Tolak budaya politik ekstrem - Azman
- Suara Keadilan
- Jun 24
- 1 min read

Tindakan sekumpulan mahasiswa di Sabah yang membakar karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di penghujung protes anti rasuah pada Ahad boleh membawa kepada politik ekstrem.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin (gambar) berkata, sebaliknya mahasiswa seharusnya menggunakan kebebasan bersuara dan tidak diganggu sewaktu berdemonstrasi dengan meluahkan bantahan secara beradab juga berhemah kerana perbuatan membakar karikatur atau gambar pemimpin boleh mencetuskan politik pelampau pada masa hadapan.
"Saya ingin menyatakan kecaman keras terhadap perilaku membakar poster Perdana Menteri di dalam demonstrasi yang berlaku di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
"Budaya politik kebencian sebegini rupa bakal mengganggu gugat keamanan negara melalui hasutan kebencian melampau menggunakan naratif gerakan politik yang ekstrem," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Azman, mahasiswa atau sesiapa sahaja yang mahu mengkritik seharusnya mendalami Rukun Negara yang membenarkan demokrasi tetapi tidak membelakangkan budaya Malaysia yang saling hormat menghormati, harmoni, apatah lagi di dalam negara berbilang kaum.
"Hak bersuara perlu disertakan bersama hak untuk menggunakan akal fikiran terlebih dahulu, demi kita memelihara satu budaya demokrasi yang sihat seiring Rukun Negara Malaysia yang mengangkat prinsip Kesopanan dan Kesusilaan.
"Demi memelihara keamanan dan kesejahteraan Malaysia, ayuh kita tolak kumpulan-kumpulan penghasut berniat jahat yang hanya tahu menghuru-harakan negara," katanya lagi.
Insiden membakar karikatur PM pada Ahad dilaporkan berlaku pada hari kedua Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 di Lintasan Deasoka, Jalan Gaya, Kota Kinabalu.
Sekumpulan mahasiswa yang berdemonstrasi bertindak berani mengakhiri himpunan anti-rasuah mereka dengan membakar karikatur PM Anwar Ibrahim yang juga Presiden KEADILAN.
Comments