Bakar karikatur: Tindakan provokatif tidak menyumbang kepada solusi
- Suara Keadilan
- Jun 23
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tindakan sekumpulan mahasiswa dipercayai daripada Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang membakar karikatur Perdana Menteri (PM), disifatkan keterlaluan dan melanggar adab budaya masyarakat timur, demikian tegas Siti Norffinie Yassin (gambar) yang kesal dengan perbuatan tersebut.
Exco Wanita KEADILAN Pusat itu berkata, meskipun perbezaan pendapat adalah perkara biasa namun penghormatan dan adab dalam menyuarakannya harus sentiasa dipelihara.
''Pembinaan negara memerlukan keberanian untuk bercakap benar, tetapi juga kebijaksanaan dalam memilih cara.
''Tindakan yang bersifat provokatif dan mempermainkan simbol kepimpinan negara tidak menyumbang kepada solusi, malah memburukkan lagi jurang persefahaman antara generasi.
''Sebagai Exco Wanita KEADILAN Pusat, saya mengiktiraf peranan anak muda dan mahasiswa sebagai suara hati nurani rakyat. Kritikan dan tuntutan ketelusan adalah perkara yang wajar dalam amalan demokrasi, namun saya kesal dengan tindakan sedemikian,'' katanya dalam satu kenyataan.
Justeru beliau mengajak semua mahasiswa dan anak muda untuk terus lantang bersuara namun ianya perlu dilakukan dengan berhemah.
''Jadilah pencetus perubahan yang mendidik, bukan membakar. KEADILAN sentiasa komited terhadap reformasi, ketelusan, dan kebertanggungjawaban.
''Maka sebarang dakwaan rasuah atau salah laku wajar disiasat oleh pihak berkuasa, tanpa campur tangan politik.
''Pada masa sama kita juga menolak budaya politik kebencian, penghinaan dan simbolik melampau yang tidak membawa nilai tambah kepada perjuangan rakyat,'' tegas beliau yang menyelar insiden berkenaan.
Insiden itu dilaporkan berlaku pada hari kedua Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 semalam di Lintasan Deasoka, Jalan Gaya, Kota Kinabalu.
Kumpulan tersebut bertindak berani mengakhiri himpunan anti-rasuah itu dengan membakar karikatur PM Anwar Ibrahim yang juga Presiden KEADILAN.
Comments