Bakar karikatur: MPPK puji PM tolak tindakan buang universiti pihak terlibat
- Suara Keadilan

- Jun 25
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengecam tindakan sekumpulan mahasiswa yang membakar karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu perhimpunan aman di Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad lalu.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, MPPK menyifatkan perbuatan itu sebagai provokatif, tidak beradab dan mencemarkan nilai kesarjanaan yang seharusnya dijunjung tinggi oleh mahasiswa.
"Tindakan membakar karikatur itu berisiko mengganggu ketenteraman awam. Ia mencerminkan ketandusan pemikiran rasional dan menghakis budaya ilmu di kampus.
"Mahasiswa seharusnya menjadi teladan dalam menyuarakan pandangan secara beradab, bukan dengan menghina mana-mana pihak," kata kenyataan itu.
Perhimpunan disertai oleh majoriti mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dianjurkan bagi membantah isu rasuah di negeri berkenaan, dengan pembakaran karikatur sebagai simbol penolakan terhadap pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Sementara itu MPPK dalam kenyataan sama turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang berjiwa besar, apabila mengarahkan supaya tiada tindakan buang universiti dikenakan terhadap pelajar yang terlibat.
"Pendekatan penuh ihsan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada anak muda tercicir daripada pendidikan hanya kerana kekhilafan yang dilakukan," katanya.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam satu laporan media berkata, perdana menteri berpandangan meskipun tindakan mahasiswa itu telah mencetuskan kontroversi, masa depan dan pengajian mereka perlu diberi keutamaan berbanding dikenakan hukuman yang terlalu keras.









Comments