Bakar karikatur: MCMC, polis perlu ambil tindakan segera penyebar video
- Suara Keadilan
- Jun 25
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseru untuk segera mengenal pasti individu yang menyebarkan video membakar karikatur Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim di platform TikTok dan mengambil tindakan sewajarnya.
Naib Ketua Cabang KEADILAN Bandar Tun Razak, Jonathan Vela yang melihat video itu, menyifatkan ia disebarkan dengan niat jelas untuk menghina, memprovokasi dan mencetuskan kebencian terhadap kepimpinan tertinggi negara.
"Tindakan ini bukan sahaja tidak bertamadun, malah ia merupakan satu bentuk hasutan terbuka dan ancaman kepada ketenteraman awam serta keselamatan negara.
"Saya telah membuat laporan polis dan menuntut siasatan segera dijalankan terhadap pihak yang terlibat. Perbuatan ini melanggar undang-undang negara dan wajar dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
"Perlu ditegaskan bahawa perbuatan seperti ini apabila disebarkan secara terbuka di media sosial, boleh mempengaruhi emosi rakyat, menyemarakkan api kebencian, dan mengundang tindak balas ekstrem daripada mana-mana pihak," katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Jonathan menegaskan, hal itu merupakan politik jahat yang tidak boleh diberi ruang langsung dalam masyarakat yang cintakan keamanan dan kematangan demokrasi.
"Kami tidak akan berdiam diri. Kami akan pastikan dalang di sebalik tindakan keji ini bertanggungjawab.
"Hentikan politik kebencian.. lawan budaya provokasi dan pertahankan maruah negara," tegas beliau yang mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab dan melampau itu.
Comments