Bakar karikatur: Budaya Sabah utamakan adab, tolak provokasi - Rufinah
- Suara Keadilan
- Jun 23
- 2 min read

Tindakan sekumpulan mahasiswa dalam demonstrasi anti rasuah di Kota Kinabalu semalam yang bertindak membakar karikatur perdana menteri terus mendapat kecaman.
Ketua Wanita KEADILAN Negeri Sabah, Datin Rufinah Pengeran (gambar) berkata, tidak sewajarnya anak muda yang masih menuntut ilmu melakukan tindakan membelakangkan adab seperti itu dengan tidak menghormati seorang perdana menteri sewaktu meluahkan bantahan.
Katanya, penduduk Sabah terkenal dengan kepelbagaian suku kaum yang hidup harmoni, saling menghormati dan berpegang pada adat resam. Tindakan ekstrem kata beliau, hanya akan merosakkan kerukunan dalam kalangan masyarakat.
"Tindakan melampau membakar karikatur seorang pemimpin, apatah lagi gambar Perdana Menteri Malaysia selaku pemimpin nombor satu, jelas bercanggah dengan nilai murni masyarakat Sabah.
"Wanita Sabah memainkan peranan penting sebagai penjaga budaya dan penerap nilai sopan santun dalam keluarga dan komuniti.
"Oleh itu, Wanita KEADILAN Sabah menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan protes yang bersifat kebencian, provokasi atau kekerasan, yang bukan sahaja tidak mencerminkan budaya politik matang, tetapi juga mencemarkan keharmonian sosial negeri ini," kata Rufinah dalam kenyataan hari ini.
Tegas Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat itu, rakyat Sabah diajar untuk bersuara dengan berhemah, berbicara dengan fakta dan berunding dengan adab.
Katanya, budaya hormat menghormati itu menjadikan Sabah unik, damai dan bersatu walaupun berbilang kaum dan agama.
"Kita boleh berbeza pandangan, tetapi tidak pernah diajar untuk mencerca atau menjatuhkan maruah orang lain, apatah lagi pemimpin tertinggi negara.
"Wanita KEADILAN Sabah menyeru seluruh rakyat negeri ini, khususnya golongan muda, agar terus menentang rasuah dan penyelewengan kuasa, namun berbuat demikian dengan cara yang menjaga nama baik negeri, menghormati pemimpin, dan menjunjung adat serta nilai sopan santun yang diwarisi turun-temurun," katanya lagi.
Insiden membakar karikatur PM semalam dilaporkan berlaku pada hari kedua Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 di Lintasan Deasoka, Jalan Gaya, Kota Kinabalu.
Sekumpulan mahasiswa yang berdemonstrasi bertindak berani mengakhiri himpunan anti-rasuah mereka dengan membakar karikatur PM Anwar Ibrahim yang juga Presiden KEADILAN.
Comments