top of page

Baju koyak: Serlah sifat kesederhanaan Anwar biarpun bergelar PM

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Tularnya baju batik Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat koyak dan dijahit semula pada bahagian lengan sebelah kiri telah mencetuskan pelbagai reaksi warganet di media sosial.


Namun bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail (gambar) perkara yang lebih utama untuk dinilai bukanlah pada pakaian yang dipakai seorang pemimpin, sebaliknya bagaimana kuasa dan amanah yang diberikan rakyat, digunakan untuk membawa manfaat dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.


Beliau berkata, jika benar baju tersebut telah dipakai selama bertahun-tahun dan terus digunakan meskipun beberapa kali dibaiki, hal itu memperlihatkan bahawa aspek kemewahan peribadi bukanlah keutamaan PM Anwar.


"Fokus beliau sejak mengambil alih pentadbiran negara adalah kepada usaha pemulihan ekonomi, peningkatan pelaburan, reformasi institusi dan pengukuhan kedudukan fiskal negara.


"Amat tidak wajar apabila terdapat pihak yang cuba menjadikan simbol luaran sebagai ukuran mutlak kesederhanaan.


"Sejarah politik juga menunjukkan bahawa ada pemimpin yang bercakap tentang kesederhanaan tetapi gagal mempraktikkan prinsip tersebut apabila diberikan kuasa.


"Ada yang menjadikan kemudahan dan kemewahan sebagai keutamaan, walaupun pada masa yang sama menyeru rakyat hidup secara sederhana," katanya dalam nada sinis.


Menurut Mohammad Fitri lagi, Malaysia memerlukan budaya politik yang lebih matang, yang mana pemimpin dinilai berdasarkan integriti, tadbir urus, prestasi dan kesetiaan terhadap amanah rakyat bukannya semata-mata berdasarkan jenama pakaian, jenis kenderaan atau imej yang dipertontonkan.


Beliau yang juga Ketua AMK Merbok berkata, pada akhirnya, ukuran sebenar seseorang pemimpin bukanlah pakaian yang dipakainya tetapi sejauh mana kepimpinannya memberi impak kepada rakyat dan menyumbang kepada kemajuan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page