Bajet Kedah 2026: Hasil tidak banyak, bergantung kepada kenaikan cukai tanah?
- Suara Keadilan

- Nov 12, 2025
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Belanjawan Kedah 2026 dibentangkan kerajaan Pas memperlihatkan kelemahan pengurusan fiskal apabila ia terlalu bergantung kepada hasil tanah dan kenaikan cukai tanah.
Aktivis Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, bajet berjumlah RM1.33 bilion yang dibentang pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kelmarin menunjukkan hasil negeri hanya RM838 juta dengan defisit mencecah RM99 juta atau 11.81 peratus, antara yang tertinggi dalam sejarah negeri itu.
"Paling mengejutkan, sebanyak 66 peratus hasil negeri datang daripada tanah, bukannya pelaburan atau industri.
"Ini membuktikan Kedah masih hidup atas ekonomi lama iaitu bergantung kepada premium tanah, urus geran dan hak milik. Apabila hasil negeri lemah, kerajaan negeri memilih jalan mudah dengan memeras poket rakyat melalui kenaikan cukai tanah," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau yang juga dikenali sebagai Syam Ghaz, belanjawan yang dibentangkan Kerajaan Negeri turut mendedahkan hasil cukai tanah dijangka meningkat daripada RM218 juta tahun ini kepada RM330 juta tahun depan dengan peningkatan sebanyak RM112 juta atau 51.38 peratus.

"RM112 juta bukan hasil kemajuan ekonomi, sebaliknya wang yang diambil daripada 850,000 pemilik tanah di Kedah.
"Kadar kenaikan pula membebankan iaitu antara 17 hingga 150 peratus bagi tanah pertanian, 14 hingga 43 peratus bagi kediaman, 50 hingga 100 peratus bagi perniagaan dan sehingga 50 peratus bagi industri," katanya.
Beliau mendakwa kenaikan sehingga 150 peratus terhadap petani bukan satu dasar yang baik, manakala peningkatan 100 peratus terhadap peniaga didakwa beban tambahan yang menekan kehidupan rakyat.
Syam Ghaz turut mendakwa Bajet Kedah 2026 memperlihatkan pola perbelanjaan mengurus yang besar, mencecah RM937 juta tanpa peningkatan sepadan daripada segi hasil.
Katanya keadaan itu menyebabkan negeri tidak berupaya melaksanakan projek pembangunan baharu tanpa bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.
"Sebagai contoh, hampir semua perbelanjaan pembangunan negeri datang daripada geran atau pinjaman Pusat.
"Dana sektor air sebanyak RM242 juta misalnya, 99.7 peratus daripadanya adalah pinjaman Persekutuan, manakala sumbangan dana negeri hanya RM0.77 juta. Begitu juga peruntukan jalan raya yang dibiayai melalui MARRIS sebanyak RM305 juta, juga dana Persekutuan," katanya.
Beliau berkata hakikat itu bercanggah dengan dakwaan Kerajaan Negeri bahawa mereka tidak mendapat bantuan mencukupi daripada kerajaan pusat.
"Realitinya, negeri tidak cukup hasil, bergantung pada tanah, zakat, wakaf dan pinjaman. Bila semua sumber ini tidak mencukupi, Kerajaan Negeri memilih jalan paling mudah iaitu naikkan cukai tanah dan bebankan rakyat," katanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan itu bertentangan dengan slogan Kerajaan Negeri yang mahu menjadikan Kedah sebagai “tempat berlindung orang miskin”.
"Bagaimana rakyat mahu berlindung kalau Kerajaan Negeri sendiri yang menambah beban hidup mereka?" soalnya.









Comments