top of page

Baik pulih sekolah daif: RM9 bilion laksana 367 projek sejak 2023

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 12 minutes ago
  • 2 min read

Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM9 bilion bagi melaksanakan 367 projek pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara sejak 2023 hingga tahun ini yang disifatkan sebagai kelulusan terbesar dalam tempoh empat tahun.


Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh (gambar) berkata langkah itu mencerminkan usaha kerajaan mempercepatkan penyelesaian masalah bangunan sekolah daif khususnya yang boleh menjejaskan keselamatan dan keselesaan murid.


“Jumlah ini adalah yang paling besar daripada mana-mana kerajaan dalam tempoh empat tahun. Peruntukan dan kelulusan projek yang lebih banyak dilaksanakan adalah bagi mempercepatkan proses pembangunan semula bangunan sekolah yang terlibat demi keselamatan murid.


“Ini juga menunjukkan komitmen berterusan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam memastikan premis sekolah daif ditangani secara berperingkat,” katanya dipetik Bernama.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Daif Kementerian Pendidikan Bangunan Gantian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Coldstream, Tapah, Perak hari ini.


Daripada keseluruhan 367 projek itu, sebanyak 86 projek bernilai RM1.711 bilion diluluskan pada 2023 diikuti 78 projek berjumlah RM1.825 bilion pada 2024.


Kelulusan meningkat kepada 124 projek membabitkan RM4.1 bilion pada 2025 manakala bagi tahun ini sebanyak 79 projek bernilai RM1.384 bilion diluluskan.


Menurut Wong, tempoh menyiapkan setiap projek tidak seragam kerana bergantung kepada skop pembinaan, spesifikasi serta lokasi.


Secara umum, kata beliau tempoh pelaksanaan mengambil masa kira-kira dua tahun selepas sesuatu projek diluluskan dan kontraktor dilantik.


Sementara itu, pembinaan bangunan gantian SJKC Kampung Coldstream menjadi antara projek pemulihan sekolah daif yang kini berjaya disiapkan.


Bangunan lama sekolah berkenaan sebelum ini berdepan masalah struktur sehingga laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2014 mengisytiharkan bangunan kayu terbabit tidak selamat dan mengesyorkan ia dirobohkan.


Sekolah yang terletak di Bidor itu mempunyai sejarah sejak 1946 dengan bangunan sekolahnya melalui beberapa fasa pembangunan sejak dekad 1960-an.


Bagi projek bangunan gantian terbaharu, Wong berkata pembinaan bernilai RM2.9 juta itu bermula pada 24 Mei 2024 dan siap sepenuhnya pada 6 Ogos lalu.


Bangunan baharu tersebut menyediakan empat bilik darjah, dua unit tandas serta sebuah dewan terbuka untuk kegunaan murid dan guru.


Pembinaan empat bilik darjah dan kemudahan lain di SJKC Coldstream juga merupakan sebahagian daripada projek sekolah daif yang telah dirancang Kementerian Pendidikan sebelum ini.


Kemudahan baharu itu membolehkan murid menikmati persekitaran pembelajaran lebih selesa selain membolehkan bilik-bilik khas yang sebelum ini terpaksa dijadikan kelas sementara dikembalikan kepada fungsi asal.


“Bangunan ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain seperti 120 set kerusi dan meja baharu serta unit Smart TV yang dibekalkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page