Bahaya politik 'kekartelan' dalam kabinet Kerajaan PN 2.0
- Redzuan Shamsudin
- Aug 30, 2021
- 2 min read

Kabinet kerajaan BN-PN atau lebih dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) 2.0 telah dikritik hebat warga maya sejak 27 Ogos lalu kerana membariskan muka-muka 'basi' kerajaan gagal era Mahiaddin Yassin.
Bagaimanapun, bagi penganalisis politik yang juga aktivis seni, Hasmi Hashim, beliau melihat kabinet PN 2.0 tersebut merbahaya kepada negara kerana jawatan diagih-agihkan tanpa berdasarkan kekananan posisi dalam parti politik.
"Saya berpandangan kabinet yang dibentuk oleh Perdana Menteri (PM) Ismail Sabri ini bukan berasal dari PRU. Ini bukan yang menang lepas PRU.
"Apabila kabinet diangkat dengan nama (menteri) sama, apa yang rosak ialah struktur parti politik. Kerana kabinet ini adalah mereka yang tidak dalam posisi jawatan kanan dalam parti politik
"Struktur parti politik telah tidak dihormati dalam pelantikan kabinet. Siapa yang berada di atas dalam Bersatu atau Umno tidak semestinya dalam kabinet. Hal itu bahaya kerana politik ini adalah politik 'kekartelan', berkumpul di lobi hotel atau rumah pemimpin tertentu untuk bagi-bagi jawatan.
"Kesan lain yang akan menimpa Malaysia ialah Umno akan pecah teruk lepas ini. Kerana semua menteri kanan kebanyakannya Ketua Bahagian, mereka jadi menteri kanan," katanya dalam forum maya, Warung Politik Cili Api - Sembang Politik Semasa: 'Sup Tulang 69', yang disiarkan di Facebook, semalam.
Menurut Hasmi lagi, politik kekartelan dalam Umno dan Bersatu akan memberi impak dalam pengurusan kerajaan, kerana pengurusan negara mungkin dibuat dengan gaya yang sama.
"Menteri Kewangan dan jaga ekonomi semua Bersatu. Dalam menentukan ekonomi, itu akan dikawal oleh Bukit Damansara, rumah Presiden Bersatu, bukan dari PM. Ini saya katakan politik kekertelan. Dia duduk dalam semak-semak dan gelap-gelap.
"Perkara buruk yang diteruskan ialah scheme of things. Memberi imbuhan kepada tokoh politik. Ini tidak berubah.
"Saya kata Umno janganlah tipu (dengan konsep) Keluarga Malaysia. Tiada.
"Ini kerajaan PN 2.0. Menterinya sama, posisi sahaja tukar. Yang jaga bandar pergi jaga sawit, itu sahaja. Tak ada perubahan lain," katanya.
Comments