top of page

Bahaya perjuangan Islam apabila parti diangkat setara agama - Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 12 hours ago
  • 2 min read
ree

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar) memberi amaran terhadap apa yang disifatkannya sebagai trend berbahaya dalam politik Islam apabila ketaatan kepada parti cuba diangkat setara dengan tuntutan agama.


Menurut beliau, tulisan Presiden Pas bertajuk “Politik Tidak Berpisah Daripada Islam” kelmarin bukan sekadar pandangan ideologi, sebaliknya membawa naratif yang meletakkan kesetiaan kepada parti sebagai kewajipan utama.


"Inilah titik paling berbahaya dalam politik Islam apabila parti dipersembahkan sebagai wakil mutlak Islam, dan sesiapa yang mengkritik parti dilabel sebagai jahil, sesat, khadam syaitan atau musuh agama," katanya dalam satu kenyataan.


Mahfuz menegaskan pendekatan sedemikian bukan bersifat dakwah, sebaliknya tekanan moral yang diselindungi hujah agama dan sejarah.


Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap penggunaan konsep baiah, walak dan ketaatan yang menurutnya telah disalahgunakan bagi mengikat ahli supaya tunduk tanpa soal kepada kepimpinan politik.


"Islam tidak pernah mengajar walak membuta tuli, apatah lagi menjadikan kritikan politik sebagai dosa atau pengkhianatan agama," tegasnya.


Mengulas rujukan kepada tokoh-tokoh ulama besar seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad, Mahfuz berkata sejarah mereka adalah sejarah menentang kezaliman kuasa, bukan mengabsahkan kekuasaan politik atas nama agama.


"Pas berhak berjuang atas dasar Islam, tetapi Pas tidak berhak memonopoli tafsiran Islam atau menjadikan perbezaan pandangan politik sebagai dosa," katanya.


Mahfuz berkata, apabila kritikan terhadap parti disamakan dengan penentangan terhadap Islam, ia akan membawa implikasi serius termasuk agama dijadikan perisai politik, kesilapan kepimpinan tidak boleh ditegur dan demokrasi dianggap ancaman kepada iman.


"Ini bukan siyasah Islamiyyah yang matang. Ini politik kepatuhan, bukan politik amanah," ujarnya.


Beliau menegaskan Islam tidak memerlukan ketaatan membuta tuli untuk ditegakkan, malah akan tercemar apabila dijadikan alat menutup kegagalan dan kerakusan kuasa.


"Menegur parti bukan menentang Islam. Berbeza pandangan bukan memusuhi agama. Dan kalah dalam pilihan raya bukan tanda Islam ditolak.


"Islam itu lebih besar daripada Pas. Parti politik, termasuk Pas, kekal sebagai entiti manusia yang wajib ditegur, dinilai dan boleh ditolak oleh rakyat," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page