top of page

Bahasa rasmi ASEAN: Guna istilah Bahasa Melayu Nusantara - ABIM



Polemik mengenai bahasa rasmi kedua dalam Persatuan Negara negara Asia Tenggara (ASEAN) seharusnya diselesaikan dengan cara permuafakatan alam Nusantara.


Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, kenyataan bantahan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Riset, dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim semalam mengenai usul Malaysia untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kedua ASEAN, dan sewajarnya Bahasa Indeonesia dijadikan bahasa rasmi tersebut tidak seharusnya berlaku.


Katanya, alam Nusantara seperti Indonesia, Malaysia dan Brunei yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi seharusnya berpakat di dalam hal tersebut.


"ABIM menegaskan usul dan usaha Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Kedua organisasi tersebut, perlu disambut baik dengan mencari kesepakatan yang untuk sama-sama menempatkan lingua ini pada peranan yang strategik.


"Ini sejajar dengan fungsi Bahasa Melayu sebagai pengantar utama ketika alam Melayu menjadi pusat peradaban kosmopolitan yang memimpin dinamika rantau Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Faisal lagi, perlu ditegaskan dalam persuratan Indonesia sebelum Merdeka, bahasa yang digunakan adalah "bahasa Melajoe" (bahasa Melayu dalam ejaan pengaruh Belanda.)


Namun, selepas Sumpah Pemuda 28 Oktober 1928 digunakan nama Bahasa Indonesia dalam pernyataan jati diri tiga serangkai - "Bertanah air yang satu - Negara Indonesia, Berbangsa yang satu - Bangsa Indonesia, Berbahasa yang satu - Bahasa Indonesia".


Kenyataan ini juga, kata Faisal, bersandarkan kepada keputusan nombor 8 Kongres Bahasa Indonesia Kedua yang diadakan di Medan, pada 28 Oktober - 2 November 1954 yang mengatakan:


“Bahwa asal bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu, dasar bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu yang disesuaikan dengan pertumbuhannya dalam masyarakat Indonesia sekarang”.


Justeru, tegas Faisal, dalam hal bahasa mana yang lebih dominan maka perlu diadakan perundingan bersama negara negara penutur bahasa Melayu dalam mencapai kesepakatan.


Katanya, untuk mengelakkan kesalahfahaman bahasa Melayu mana yang lebih murni, bolehlah diperkenalkan istilah bahasa Melayu Nusantara sebagai bahasa yang akan digunakan di ASEAN.


"Penggunaan istilah bahasa Melayu sifatnya meluas merentas negara, iaitu digunakan oleh mana-mana rumpun Melayu di mana-mana rantau di dunia ini.


"Oleh itu, ABIM menegaskan isu bahasa Melayu seharusnya menjadi medan yang menyatukan warga alam Melayu.


"Sebagai jalan tengah untuk mengelakkan polemik serta pertelagahan istilah yang merugikan, antaranya ia boleh diselesaikan dengan penggunaan istilah yang boleh menyatu seperti “Bahasa Melayu – Nusantara”.


"Di sini pentingnya kita bersama mengangkat semula Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) yang merupakan sebuah badan kebahasaan serantau yang ditubuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu," katanya lagi.


Untuk rekod, bahasa Melayu yang dianggap lebih murni dikatakan digunakan di Malaysia dan Brunei. Manakala bahasa Melayu Indonesia banyak meminjam istilah bahasa Inggeris dalam perbendaharaannya. Bagaimanapun bahasa Indonesia merupakan yang terbesar dengan penutur rasmi sekitar 240 juta orang.

0 comments

Recent Posts

See All

コメント


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page