Bahasa Melayu jadi asas pembentukan bangsa Malaysia — Amirudin
- Suara Keadilan

- Oct 13
- 1 min read

Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya lambang kesetiaan kepada negara dan jati diri bangsa, tegas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Ampang Jaya pada Ahad, beliau berkata penguasaan bahasa kebangsaan menjadi asas perpaduan rakyat dan pembentukan bangsa Malaysia yang berakar pada nilai tempatan.
"Atas sebab itu, ketika membentangkan Belanjawan 2026 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen memperkukuh penggunaan Bahasa Melayu.
"Teguran Perdana Menteri terhadap sekolah antarabangsa yang mengabaikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar wajar dipandang serius kerana ia bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan," katanya dipetik.
Beliau sementara itu turut menegaskan penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan kekal relevan sebagai wahana menyemai rasa cinta terhadap bahasa dan memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum.
"Bahasa Melayu wajar diperkasa dalam sektor ekonomi dan industri kreatif seperti muzik, filem, sastera dan animasi sebagai ‘kuasa lembut’ yang memperkenalkan Malaysia di peringkat global," ujarnya.
Amirudin berkata, Kerajaan Negeri Selangor turut komited mendaulatkan bahasa kebangsaan dengan mematuhi Akta 32 dalam semua urusan rasmi termasuk penamaan tempat, jalan dan papan tanda awam.









Comments