
Terdapat gelombang perubahan yang mula dirasai di seluruh negara bahawa rakyat mahukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata beliau menerima laporan bahawa kerusi parlimen Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pun tidak selamat kali ini
Oleh itu, katanya, penyokong Pakatan Harapan perlu pastikan kerusi kerusi pemimpin biasa Umno ditumbangkan pada 19 November ini.
"Saya dengar cerita Bagan Datuk pun sudah goyang. Bagan Datuk (Zahid) hanya menang 5,000 undi PRU lepas. Kita sama sama akan pergi membantu kempen di Bagan Datuk. Kita nak pastikan bahawa ada kesinabungan.
"Kita kena menang 112 kerusi dan Johor sangat penting," katanya dalam ceramah Jelajah Mega Harapan Negeri Johor, malam tadi.
Loke mahu PH mengekalkan 18 kerusi parlimen yang disumbangkan Johor dalam PRU 14 lalu dan seboleh bolehnya angka itu bertambah pada PRU 15.
"Di Johor kita main peranan penting. Johor sumbang 18 kerusi pada PRU lepas. Kali ini tak boleh kurang kalau kita nak sampai Putrajaya.
"Kita boleh pecut, jangan kita kalah kerusi negeri Johor. Yang kita menang perlu pertahankan. Segamat kita pertahan, Ledang, Tebrau.
"Mana belum menang, bantu menang di Air Hitam, Parit Sulong. Pontian lawan Ahmad Maslan. Kalau boleh menangkan calon kita di Sembrong lawan Hishamuddin tak mustahil," katanya.
Sekirnaya hal itu berjaya dilakukan, kata Loke, maka landskap politik akan berubah dan Malaysia akan menjadi negara majmuk sesungguhnya.
"Kita perjuangkan politik pelbagai kaum, politik majmuk. Itu yang kita sebut bahawa kita nak lihat politik baru. Kalau Anwar nak jadi PM dah lama dia jadi PM. Masa saya di sekolah menengah Anwar sudah nak jadi PM.
"20 tahun dipecat keluar Umno dia perjuangkan politik pelbagai kaum. Nak yakinkan orang Melayu bukan mudah.
"Saya salute kepada Anwar, dia pernah dipenjara 11 tahun. Diaibkan, naik mahkamah, dipisah dengan isteri dan anak tetapi beliau tidak putus asa.
"Anwar satu satunya pemimpin tidak putus asa nak melihat politik pelbagai kaum.
"Kita terima kepimpinan Melayu kerana majoirti orang Melayu. Itu tak jadi pertikaian. Cuma kita nak lihat sebuah kerajaan yang mengiktiraf negara ini majmuk. Semua rakyat ada haknya dalam negara," katanya.