Kritikan kononnya Perdana Menteri (PM) Malaysia tidak menghiraukan nasib rakyat Kedah dengan tidak mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar (MB) Kedah dan membincangkan pembangunan negeri dibidas Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail.
Menurut Siti Aishah, kritikan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Muslimat PAS Kedah, Mardhiyyah Johari bersifat menyerang dan tidak adil kerana sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai PM, MB Kedah sendiri tidak pernah berhenti menghentam Anwar.
Katanya, Mardhiyyah tidak wajar membangkitkan dua projek besar Kedah yang tidak mendapat kerjasama Persekutuan sekiranya beliau faham bagaimana hubungan negeri dan Persekutuan seharusnya terjalin.
"Kenyataan beliau yang cuba mewujudkan persepsi bahawa dengan tidak adanya pertemuan, membuatkan rakyat Kedah tertindas dan Kedah terkeluar dari pembanggunan serta kemajuan adalah jauh tersasar.
"Kenyataan beliau juga merujuk kepada dua perkara yang menjadi perbahasan masyarakat, iaitu soal pembangunan Lapangan Terbang Kulim dan pajakan negeri Pulau Pinang bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dengan sikap pemimpin yang tidak bertanggungjawab.
"Bagaimana perkara yang amat fundamental seperti ini mahu dibincangkan jika kewarasan mereka yang mahu memperbincangkannya jelas tidak kelihatan.
"Isu ini melibatkan Perlembagaan atau keutamaan pembanggunan yang perlu dibuat secara relevan," katanya dalam satu kenyataan.
Sebaliknya, Siti Aishah mahu muslimat Pas melihat pembelaan dan kebajikan yang telah dilakukan oleh PMX di Kedah.
Katanya, PM setiap kali turun ke negeri itu memberikan fokus kepada pembangunan ekonomi rakyat, sektor pendidikan dan ingin menghapus kemiskinan tegar di Kedah.
"Sebagai contoh, setiap kali PM turun akan sentiasa ada insentif kepada rakyat yang diumumkan. Tidak ada istilah lupa atau pengabaian kepada rakyat Kedah seperti yang digambarkan oleh Mardhiyyah.
"Mardhiyyah seharusnya menjadi penilai yang baik dengan berani menegur dan mengkritik cara Menteri Besar Kedah dalam menjalankan fungsi beliau sebagai seorang pemimpin.
"MB Kedah harus kembali kepada norma biasa pemimpin yang perlu bermula dengan sikap dan adab. Jika benar MB Kedah ikhlas untuk bercakap soal rakyat maka beliau harus memperbaiki sikap dan pertuturan bukannya sentiasa melemparkan persepsi jahat dan fitnah kepada PM dan Kerajaan Persekutuan," katanya.
Justeru, Siti Aishah menasihatkan muslimat Pas Kedah agar kembali kepada ajaran Islam sebenar yang mementingkan hubungan baik dan saling menghormati antara sesama muslim, termasuklah antara MB dan PM.
"Hubungan baik antara PM dan MB dari parti lain di beberapa negeri yang berlainan boleh dijadikan rujukan oleh saudari.
"Jangan kita ibarat melontar batu sembunyi tangan, meletakkan kesalahan di bahu orang lain tanpa melihat kelemahan pemimpin sendiri," katanya lagi.
Untuk rekod, MB Sanusi merupakan satu satunya Ketua Kerajaan Negeri yang masih belum bertemu PM di Putrajaya.
Tiga MB negeri ditadbir Pas seperti Kelantan, Terengganu dan Perlis telah pun berbuat demikian.
Comments