
Kementerian Komunikasi Dan Digital memberi jaminan memastikan organisasi media arus perdana negara ini bebas melaporkan sebarang isu serta tidak berada di bawah telunjuk kerajaan.
Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil memberi jaminan itu ketika menjadi tetamu dalam program In The Studio oleh BFM Radio yang disiarkan semalam.
"Saya adalah penyokong kepada kebebasan media. Saya fikir adalah penting untuk pemain media memahami fungsi mereka untuk memainkan peranan semak dan imbang.
"Pada masa sama, ini bermakna ketelusan eksekutif perlu dinilai oleh pengamal media, sama ada penyiar awam utama atau organisasi media swasta," jelasnya.
Shazana Mokhtar, hos stesen radio berorientasikan hal ehwal dan perniagaan Malaysia itu sebelumnya bertanyakan pendirian Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hal kebebasan media memandangkan pentadbiran terdahulu dilihat mengawal media dengan menekan badan penyiaran awam.

Sementara itu, Fahmi turut menegaskan pihak kementerian akan terus menjalin kerjasama dengan pengendali laman media sosial bagi membendung penyebaran berita palsu dan kandungan yang mengancam keharmonian di negara ini.
Buat masa ini, katanya pengendali media sosial antaranya TikTok memberikan kerjasama yang baik dalam menangani berita palsu dan beliau berharap hubungan baik antara kerajaan dan pengendali laman sosial dapat dikekalkan.
"Saya fikir kita mesti ada garis pemisah, apa sahaja kandungan yang mengancam keharmonian dan keselamatan (rakyat) negara ini mesti ditangani.
"Kita perlu mempunyai beberapa jenis penyelarasan untuk memastikan berita palsu terutama isu-isu berkaitan agama, kaum dan raja-raja contohnya mesti diperhatikan.
"Sekiranya ada ancaman kepada keharmonian, kerajaan akan ambil tindakan," tegasnya.