Azmin kata Rashid khianat: Siapa mulakan dulu - Dr Gunaraj
- Redzuan Shamsudin
- Mar 8, 2024
- 2 min read

Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Selangor, Mohamad Azmin Ali bahawa Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dari Bersatu yang beralih sokongan kepada pentadbiran Menteri Besar Selangor sebagai khianat ditempelak oleh ADN Sentosa, Dr Gunaraj George.
Menurut Naib Pengerusi II Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor itu, kutukan yang dibuat oleh Azmin tersebut seumpama "mengata dulang paku serpih".
Katanya, Azmin seharusnya sedar sejarah pengkhianatan terbesar dalam politik negara sehingga meruntuhkan Kerajaan Pakatan Harapan pada Feb 2020 lalu adalah dimulakan oleh beliau sendiri yang meninggalkan KEADILAN bersama rakan rakannya.
"Datuk Seri Azmin Ali seharusnya mengambil cermin dan melihat diri sendiri kerana beliau adalah antara dalang utama pengkhianatan sewaktu menumbangkan kerajaan pilihan rakyat melalui Langkah Sheraton.
"Keputusan Datuk Abdul Rashid tidak mendatangkan sebarang dampak negatif kepada pentadbiran kerajaan malah bakal menjadi pemangkin kepada kerjasama erat antara ADN dari Pembangkang dengan polisi dan dasar Kerajaan Negeri.
"Malah MPN Selangor melihat perkembangan ini (beralih sokongan) sebagai satu bentuk penolakan kepada Datuk Seri Azmin Ali dan kami percaya pelbagai kejutan politik bakal berlaku dalam masa terdekat, yang akan mendedahkan lebih banyak lagi kelemahan Bersatu Selangor," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Dr Gunaraj juga menasihatkan rakyat di mana mana DUN dalam Selangor agar tidak risau dengan perkembangan politik semasa kerana Kerajaan Negeri akan terus menjaga kepentingan mereka dan menjalankan perkhidmatan terbaik melalui penyelaras DUN di kawasan pembangkang.
"Rakyat Selangor tidak perlu khuatir dan risau kerana Kerajaan Negeri akan terus menjaga kepentingan mereka dalam menjalankan perkhidmatan terbaik demi masa depan Selangor yang lebih maju di bawah teraju MB Datuk Seri Amirudin Shari selaku Datuk Menteri Besar Selangor dan Pengerusi MPN Selangor," katanya lagi.
Kelmarin, Azmin dalam sidang medianya di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas berakhir sidang DUN Selangor berkata, tindakan ADN Selat Klang itu adalah satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang telah diberikan dalam Pilihan Raya Negeri pada Ogos 2023 lalu.
Comments