top of page

Azmin gagal faham dinamika global, Kerajaan MADANI perkukuh diplomasi ekonomi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat menyifatkan dakwaan Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali kononnya perjanjian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat (ART) sebagai penyerahan kedaulatan ekonomi negara merupakan naratif dangkal yang tidak berpijak pada realiti ekonomi semasa.


Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin (gambar) menegaskan kenyataan Azmin itu mencerminkan kegagalan beliau memahami landskap ekonomi dunia yang semakin dipacu oleh kerjasama strategik dan integrasi rantaian bekalan global.


"Malaysia merupakan salah satu daripada 25 ekonomi paling terbuka di dunia dengan perdagangan antarabangsa melebihi 130 peratus daripada KDNK.


"Justeru itu, dasar keterbukaan dan hubungan dua hala adalah pendekatan yang lebih menjamin kemandirian negara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Azmin dalam satu kenyataan sebelum ini mendakwa perjanjian Agreement on Reciprocal Trade (ART) antara Malaysia dan AS adalah satu bentuk penyerahan kedaulatan ekonomi.


Perjanjian itu membataskan hak Malaysia untuk membuat keputusan sendiri dalam perdagangan, pelaburan dan regulasi ekonomi, dakwa beliau.


Sebaliknya, Danish menjelaskan, ART membuka peluang lebih luas kepada Malaysia dari segi akses pasaran, pelaburan bernilai tinggi serta pemindahan teknologi, khususnya dalam sektor semikonduktor dan nadir bumi yang kini menjadi teras industri teknologi hijau dunia.


"Perjanjian perdagangan dua hala bukan penyerahan kedaulatan. Ia adalah alat memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi global.


"Berbeza dengan era pentadbiran lalu, ketika Azmin sendiri gagal memeterai sebarang FTA baharu," katanya.


Danish menegaskan kawalan terhadap pengeluaran, eksport serta penggunaan mineral strategik kekal sepenuhnya di bawah undang-undang negara dan bukannya ditentukan kuasa luar seperti digambarkan pihak pembangkang.


Selain itu, lebih 1,700 jenis produk tempatan akan menikmati tarif sifar atau rendah ke pasaran Amerika Syarikat, sekali gus merangsang pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana juga sektor pembuatan berteknologi tinggi, katanya


Mengulas dasar luar, beliau berkata, Kerajaan MADANI komited meneruskan pendekatan berkecuali dengan memperkukuh hubungan ekonomi bersama semua kuasa besar termasuk China, Jepun dan Kesatuan Eropah tanpa menyebelahi mana-mana blok.


Danish turut menyifatkan retorik Azmin sebagai sisa politik lama yang cuba menakut-nakutkan rakyat dengan sentimen anti-Barat pada ketika dunia memerlukan kerjasama lebih erat dalam menghadapi cabaran ekonomi hijau, digital dan perubahan geopolitik.


"Malaysia tidak tunduk kepada sesiapa. Kita berdiri atas kedaulatan sendiri, bebas bekerjasama dengan semua pihak selagi memberi manfaat kepada rakyat dan negara.


"Malaysia kini berada di landasan kukuh sebagai ekonomi progresif, berdaya saing dan berdaulat di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI. Ini bukan penyerahan, ini strategi memperkasa," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page