top of page

Azmin dipersoal kekal jawatan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 17 minutes ago
  • 2 min read
ree

Kedudukan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Negeri Selangor dipersoalkan susulan perkembangan terbaharu yang memperlihatkan keretakan kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya melibatkan hubungan antara Pas dan Bersatu.


Menurut Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor, Abbas Azmi (gambar), krisis dalaman yang tercetus di Perlis antara dua parti utama PN kini telah merebak ke peringkat nasional, termasuklah di Selangor.


Tindakan Pengerusi PN Mahiaddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, katanya berjangkit di Selangor apabila Azmin melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi PN Selangor, berkuat kuasa 1 Januari 2026.


"Tindakan ini menjadikan Datuk Seri Azmin tidak lagi mempunyai kapasiti untuk memimpin blok pembangkang di Selangor yang dianggotai sepenuhnya oleh Pas dan Bersatu dalam PN," kata Abbas dalam kenyataan hari ini.

ree

Tambah ADN Seri Serdang itu, pengunduran Azmin daripada jawatan Pengerusi PN Selangor, namun masih mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Pembangkang berpotensi mewujudkan ketempangan struktur politik pembangkang di peringkat negeri.


"Lebih utama, kedudukan sebagai Ketua Pembangkang yang diletakkan sama taraf dengan anggota pentadbiran negeri serta mempunyai elaun Ketua Pembangkang yang tinggi mencecah RM11,000 bukan hanya sebagai penyemak imbang kepada kerajaan negeri, sebaliknya turut sama berperanan memacu kestabilan dan kelancaran pembangunan negeri," ujarnya.


Sehubungan itu, Abbas berpendapat bahawa Azmin wajar menyerahkan jawatan Ketua Pembangkang kepada wakil lain dalam kalangan Ahli Dewan Negeri pembangkang yang masih memegang jawatan utama dalam struktur parti PN di Selangor.


"Jawatan Ketua Pembangkang juga harus diserahkan kepada Ahli Dewan Negeri blok Pembangkang yang lain bersesuaian dengan jawatan dalam parti-parti blok pembangkang di Selangor," kata beliau lagi.


Tegas Abbas, kestabilan politik dalam kalangan pembangkang Selangor agak penting bagi mencerminkan situasi Dewan Negeri Selangor yang tidak terlalu terpengaruh dengan kemelut politik PN di peringkat nasional.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page