Azeez Rahim pakai baju lokap, gari atas kehendak sendiri - SPRM


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pemakaian baju lokap berwarna ungu dan gari oleh bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini adalah atas kehendak beliau sendiri.
SPRM dalam kenyataan berkata, sebelum dibawa ke mahkamah, Azeez telah dinasihati pegawai SPRM, pegawai polis yang mengiringinya serta peguamnya supaya menukar kepada pakaian biasa dan tidak perlu memakai gari.
Bagaimanapun, menurut SPRM, Azeez berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan gari berkenaan sehingga proses pertuduhan selesai dibacakan.
"Justeru itu, SPRM ingin menegaskan bahawa pemakaian baju lokap dan gari terhadap beliau bukan atas arahan atau kehendak mana-mana pihak khususnya SPRM," menurut kenyataan itu.
SPRM turut meminta semua pihak tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung perkara berkenaan.
Isu pemakaian baju lokap dan gari itu mendapat perhatian selepas Azeez dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009.
Media tempatan melaporkan beliau tiba di mahkamah pada kira-kira pukul 10.21 pagi dengan memakai baju lokap polis berwarna ungu dan bergari.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi, Azeez mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH untuk mendapatkan suapan berupa jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad (PPB).
Mengikut pertuduhan, jawatan itu menawarkan remunerasi RM690,000 setahun selain kemudahan sebuah kereta BMW 7 Series dan seorang pemandu tetap.
Azeez juga didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif TH ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail supaya mencadangkan namanya sebagai wakil TH dalam PPB.
Beliau turut didakwa meyakinkan Ahli Lembaga TH dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah TH Bil. 4/2014 supaya meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta bersamaan sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada PPB yang mana beliau didakwa mempunyai kepentingan.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 25 Ogos 2014 di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan TH, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Azeez ketika menjawab pertuduhan berkata beliau memahami pertuduhan berkenaan namun menafikannya.
"Faham pertuduhan, pertuduhan itu tidak benar sama sekali, mohon dibicarakan," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan Azeez diikat jamin RM450,000 dengan dua penjamin warganegara tempatan serta menetapkan syarat supaya beliau melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap tiga bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 11 November ini untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen.
Kes tersebut merupakan susulan siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Azeez sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 27 Ogos hingga 2 September bagi membantu siasatan selepas laporan RCI berkenaan didedahkan kepada umum.
Laporan RCI yang dimuat naik melalui portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu antara lain mencadangkan audit forensik bagi meneliti kaedah keputusan pelaburan terdahulu yang menyebabkan TH berdepan kemerosotan nilai aset.
RCI turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik serta melaporkan kewujudan transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
Siasatan RCI itu merangkumi isu pengurusan dan operasi TH sepanjang 2014 hingga 2020 dengan merujuk penemuan PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.




Comments