Ayah calon BN akui berdebar nantikan keputusan PRK


Oleh: Abdullah Zaid
Sebagai seorang ayah kepada calon BN, Abu Adam Duaji mengakui berdebar debar menanti keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai buat anaknya yang menghadapi pertandingan 3 penjuru hari ini.
Katanya, debaran itu tidak surut sejak anaknya Datuk Amizar Abu Adam mula dinamakan sebagai wakil kerajaan pada hari pencalonan 2 minggu lepas.
"Dah hampir 2 minggu perasaan berdebar masih kuat. Apa pun pakcik harap kemenangan berpihak kepada kita (Kerajaan Perpaduan)," katanya kepada Suara Keadilan ketika wartawan mengunjungi kediaman beliau.
Bapa kepada enam orang anak itu turut bertemu sendiri dengan penduduk setempat dan berkempen bagi pihak anaknya.
Beliau berkongsikan pengalamannya bertemu dengan calon lawan. Pertemuan itu disifatkan sebagai perjumpaan rakan sekampung kerana kebetulan calon PN tersebut tinggal tidak jauh dari kediaman beliau.
"Sepanjang tempoh berkempen pakcik sendiri ada membuat usaha kempen dengan perkenalkan anak pakcik kepada kenalan dan orang surau.
"Sebelum semalam pakcik juga ada berjumpa dengan calon lawan. Kami bersalaman dan mendoakan yang terbaik antara satu sama lain," ujarnya.
Dalam PRK ini, Datuk Amizar ditentang calon PN, Kasim Samat yang juga bekas guru dan seorang calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.




Comments