Autonomi Sarawak diperkukuh, transformasi sedang berjalan - PM
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasa kesejahteraan rakyat Sarawak menerusi pelaburan strategik, pembangunan ekonomi inklusif serta pewujudan peluang pekerjaan baharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha memperkukuh hak dan autonomi Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus perkasa melalui rundingan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Menurut beliau, penyusunan semula kuasa dalam bidang pendidikan dan kesihatan, peningkatan peruntukan khas kepada negeri, selain pengiktirafan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia antara perkara yang telah dikuatkuasakan dibawah pentadbirannya.
Dalam sektor minyak dan gas, Anwar berkata peranan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik bersama Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).
Langkah itu menurutnya sekali gus membuka ruang kepada penerokaan baharu, pembangunan gas serta perkongsian hasil yang lebih telus bagi meningkatkan perolehan negeri.
"Setiap inisiatif dirancang dan dilaksanakan bagi membina Sarawak yang lebih maju, mampan dan sejahtera demi manfaat rakyat hari ini serta generasi akan datang," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menerusi hantaran yang disertai infografik tersebut, Anwar turut menyatakan hasrat Kerajaan Persekutuan yang mahu Sarawak menjadi antara kuasa ekonomi negara, selain pintu masuk pelaburan hijau di rantau Asia Pasifik.
Katanya, pelaburan strategik dan pembangunan industri berimpak tinggi di Sarawak hususnya dalam sektor tenaga hijau, semikonduktor, elektrik dan elektronik, hab metanol dan hidrogen, selain pengukuhan sektor logistik dan aeroangkasa di koridor Kuching–Bintulu–Miri, ia dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan kemahiran rakyat tempatan.
"Transformasi nyata untuk rakyat Sarawak sedang berjalan, dan kita semua adalah sebahagian daripada perjalanan ini," katanya.









Comments