top of page

Autonomi perjawatan KKM: 4,500 doktor kontrak ditawar jawatan tetap

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Dr Dzulkefly memberi penjelasan mengenai autonomi KKM di sesi Kamar Khas Dewan Rakyat
Dr Dzulkefly memberi penjelasan mengenai autonomi KKM di sesi Kamar Khas Dewan Rakyat

Kementerian Kesihatan (KKM) menerima kuasa autonomi penuh untuk mengurus dan mengagihkan perjawatan pegawai perubatan, sekali gus membolehkan proses penempatan doktor di hospital dipercepatkan tanpa bergantung kepada prosedur birokrasi yang panjang.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kuasa autonomi yang berkuat kuasa mulai 9 Julai itu diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai sebahagian daripada reformasi bagi memperkukuh pengurusan sumber manusia di KKM.


"Bermula 9 Julai lalu, KKM telah diberikan kuasa penuh oleh JPA untuk mengurus dan mengagihkan sendiri perjawatan.


"Ini bermakna kita berjaya memotong kerenah birokrasi lama supaya pengisian doktor di hospital dapat dibuat dengan jauh lebih pantas," katanya ketika sesi Kamar Khas Dewan Rakyat, semalam.


Katanya, bagi tahun ini seramai 4,500 doktor kontrak akan ditawarkan pelantikan tetap, menjadikan lebih 18,500 doktor berjaya diserap ke jawatan tetap di bawah Kerajaan MADANI sejak 2023.


Selain pelantikan tetap, Dzulkefly berkata KKM turut menyelesaikan isu kebajikan berkaitan kos perpindahan pegawai perubatan yang sebelum ini menjadi antara rungutan utama golongan doktor.


Menurut beliau, mulai Julai 2026 semua pegawai perubatan yang melapor diri di fasiliti baharu dijamin layak menuntut elaun perpindahan penuh mengikut peraturan kewangan kerajaan.


"Mulai Julai 2026, kesemua pegawai perubatan yang melapor diri di fasiliti baharu kini dijamin layak menuntut elaun perpindahan penuh, termasuk elaun makan, sewa hotel dan kos pengangkutan barang. Isu legasi yang sekian lama membelenggu para doktor akhirnya berjaya kita selesaikan secara tuntas," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kini memperkenalkan proses penilaian baharu yang lebih telus bagi program perubatan luar negara yang belum tersenarai, bagi memastikan lebih ramai graduan berkelayakan dapat dinilai secara sistematik.


Beliau berkata perkara itu dijelaskan ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sibu mengenai pengiktirafan graduan perubatan luar negara.


"Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kini membuka proses penilaian baharu yang lebih telus bagi menyaring program perubatan luar negara yang belum tersenarai. Setakat ini, sebanyak lapan universiti dari China telah rasmi mengemukakan permohonan untuk dinilai," katanya.


Dzulkefly berkata reformasi yang dilaksanakan itu bertujuan mewujudkan ekosistem kerja yang lebih kondusif dan adil, di samping memastikan bakat terbaik kekal berkhidmat dalam sistem kesihatan awam.


"Kesemua langkah ini adalah untuk memastikan ekosistem kerja yang lebih kondusif, adil, sekali gus mengekalkan bakat-bakat terbaik kita di dalam perkhidmatan kesihatan awam. Apabila kebajikan barisan hadapan kita terjaga dan dilindungi, barulah sistem kesihatan negara dapat memberikan khidmat yang terbaik, pantas dan mantap kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page