Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Mengkagumkan - itulah yang boleh digambarkan dengan lawatan singkat Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun yang berakhir semalam.
Walaupun lawatan ke negara Matahari Terbit itu cuma tiga hari, bermula 22 Mei hingga 24 Mei 2024, namun hasil pelaburan yang berjaya dibawa balik begitu membanggakan.
Jangkaan eksport RM550 juta
Selain potensi pelaburan bernilai RM1.4 bilion yang berjaya diraih, turut dijana ialah jangkaan eksport sejumlah RM550 juta ke negara tersebut.
Pastinya aura PMX yang sentiasa berenergi yang positif mampu meyakini syarikat-syarikat gergasi untuk melabur di negara ini.
Terkini PMX telah memaklumkan perkembangan itu hasil pertemuan dengan rakan sejawatnya di Jepun, Fumio Kishida, sambil menambah potensi pelaburan itu meliputi projek di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
"Pelaburan baharu itu memerlukan perbincangan lanjut dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensi berkaitan kerana ia membabitkan alam sekitar.
"Kami tegas dalam perkara berkaitan alam sekitar," ujar PMX.
Sementara itu menjelaskan kejayaan tersebut, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaburan yang bakal masuk itu daripada tujuh syarikat utama Jepun.
Katanya, kesemua syarikat berkenaan terlibat dalam sektor industri jentera dan kelengkapan; kimia dan produk kimia; industri minyak dan gas; minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, serta tenaga boleh diperbaharui (RE).
Beliau menambah, beberapa projek daripada pelaburan itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun.
Mengenai potensi eksport dari Malaysia ke Jepun pula, Tengku Zafrul berkata, ia membabitkan produk huluan dan hiliran minyak sawit.
"Diharapkan perdagangan kita dengan Jepun akan meningkat tahun ini. Tahun lalu berjumlah sekitar RM35 bilion," katanya
Pelabur keempat terbesar sektor pembuatan
Jepun merupakan rakan dagang Malaysia yang keempat terbesar bagi tahun 2023 dengan nilai dagangan berjumlah RM156.63 bilion.
Negara tersebut juga merupakan pelabur keempat terbesar dalam sektor pembuatan dengan nilai pelaburan RM102.11 bilion (USD29.67), melibatkan 2,810 projek dan mewujudkan sejumlah 344,120 peluang pekerjaan.
Yang nyata, sebagaimana lawatan ke negara lain oleh Perdana Menteri, hasil yang dibawa dalam bentuk pelaburan ke Malaysia tidak pernah mengecewakan.
Sejak Kerajaan Madani mentadbir negara, keyakinan dunia kepada Malaysia makin bertambah kukuh.
PMX sentiasa gigih membuka laluan baru untuk mencari pelabur-pelabur daripada negara-negara yang dikunjungi demi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia.
__________________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments