Aura PMX menyengat, beri kelebihan berganda calon PH raih undi
- Suara Keadilan

- 4 days ago
- 3 min read

Oleh: Noraini Nordin
Sorotan PRN Sabah ke-17: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) terus menggempur Sabah, sebaik sahaja mengakhiri lawatan Misi Diplomasi MADANI ke benua Afrika yang berjaya memperluaskan jajaran kerjasama strategik dengan rantau berkenaan.
Jelajah dua hari PMX di Sabah bukan sahaja menyantuni rakyat negeri di bawah bayu tetapi juga menyuntik semangat calon-calon PH dan sekutu untuk terus menggempur kubu-kubu lawan dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah yang ke-17 .
Berbaki dua hari lagi, hati pengundi perlu ditawan dan dikepung dengan kempen yang berterusan demi memastikan kemenangan bergaya calon-calon PH serta rakan sekutu.
Sehubungan itu, semalam PMX yang juga Presiden KEADILAN mendarat di bumi Sandakan untuk menghadiri Program Rahmah Mesra dan menyantuni pengundi di N.54 DUN Karamunting.
Gaya santai PM santuni anak muda disenangi
PMX mendekati anak muda di Pusat Futsal Sim Sim, Sandakan untuk menyelami keperluan, harapan serta tuntutan mereka demi membina masa depan yang gemilang.
Gaya santai PMX menyantuni anak muda disenangi dan seperti yang ditegaskan oleh PMX, kesinambungan kemajuan perlu diterjemahkan dalam pemilihan kepimpinan yang betul, khususnya pada hari pengundian 29 November ini.

"Saya turut peringatkan hadirin bahawa Kerajaan Persekutuan menyalurkan sekitar RM17 bilion kepada Sabah setiap tahun, berbandingan kutipan hasil negeri sebanyak RM10 bilion, dan bukannya mengaut hasil atau khazanah negeri seperti didakwa sesetengah pihak," kata Anwar dalam siri ceramah di kawasan yang dijelajahi oleh beliau.
Usaha PMX mengajak rakyat terus memberi sokongan kepada Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri Sabah secara konsisten ini secara tidak langsung memberi nilai tambah berganda kepada calon-calon PH dan rakan sekutunya.
Sosok dan aura yang semakin menyengat
Terbukti aura PMX semakin menyengat apabila kemunculan beliau dinanti-nantikan. Sambutan terhadap PMX bukan sahaja daripada komuniti luar bandar tetapi juga dalam kalangan pemimpin setempat, usahawan-usahawan daripada pelbagai bidang dan golongan profesional khasnya kalangan orang muda.

Rata-rata rakyat Sabah tahu bahawa PMX adalah Perdana Menteri yang amat memahami denyut nadi masyarakat tempatan dan yang paling kerap ke negeri itu dalam tempoh tiga tahun memimpin Kerajaan MADANI.
Untuk rujukan, dalam PRN Sabah ke-17 ini KEADILAN bertanding 12 kerusi yang menampilkan calon-calon yang dikenali pengundi di kawasan masing-masing serta berpengalaman sebagai pemimpin.
Manakala DAP bertanding untuk lapan kerusi DUN dan Amanah satu kerusi.
PH hanya bertanding 22 kerusi daripada 73 kerusi DUN yang terdapat di Sabah adalah kerana gabungan ini turut menjalin kerjasama dengan GRS dan BN.
Maka itu, mengambil kira kedudukan GRS yang kini menerajui Kerajaan Negeri dan BN sebagai rakan kongsi utama di peringkat pusat, jumlah 22 kerusi itu adalah dikira munasabah dalam konteks perkongsian kuasa.
Meskipun hanya bertanding 22 kerusi, tetapi PH dijangka mampu mencipta sejarah dengan lebih banyak kerusi akan dimenanginya.
Keyakinan kepada Kerajaan Madani
Dalam tinjauan penulis di Sabah melalui temubual dengan pelbagai kaum, faktor utama yang dijangka menyumbang ke arah kemenangan PH ialah aura serta kedudukan Anwar selaku Presiden KEADILAN dan Pengerusi PH yang kini memegang jawatan Perdana Menteri.

Hal itu boleh dilihat apabila kehadiran PMX di setiap tempat disambut pengundi dengan luar biasa sekali. Rakyat Sabah berduyun-duyun hadir untuk bertemu muka dan mendengar ucapan beliau.
Terlihat ada kepuasan di wajah mereka yang hadir apabila dapat bertemu muka dan mendengar amanat PM secara langsung, bukan sebagaimana sebelum ini di mana mereka menatap wajahnya di kaca televisyen atau di skrin telefon sahaja.
Jika kita masih ingat, pada PRN Sabah yang lepas, Bersatu mampu menang paling banyak kerusi berbanding lain-lain parti, kerana faktor utamanya Perdana Menteri ketika itu adalah Muhyiddin Yassin.
Berbanding dengan Muhyiddin, tanpa diragui Anwar jauh lebih berketrampilan dan terserlah kewibawaannya.
Dengan itu, melalui bilasan kempen dan ucapan di hari-hari terakhir sebelum hari pengundian, Anwar dengan auranya yang menyerlah dirasakan mampu mendapatkan sokongan pengundi Sabah terutamanya kelompok Atas Pagar yang belum membuat keputusan.
Sebaik sahaja mereka diyakinkan PM akan lebih memberi perhatian kepada Sabah sekiranya PH menang besar, maka sokongan akan berpihak kepada parti yang mewakili beliau.









Comments