
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasir menggesa supaya Yayasan Wilayah Persekutuan diaudit dengan segera serta memulangkan kembali keuntungan RM13.69 juta yang diperoleh sebelum ini.
Ini selepas bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor menyangkal dakwaan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjual tanah kepada syarikat miliknya, dengan jualan tanah itu membabitkan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
"Beliau merupakan Pengerusi YWP pada masa itu kerana kedudukan beliau sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. YWP sebelum ini bertindak sebagai yayasan kebajikan tetapi berdepan kritikan kerana didakwa digunakan untuk tujuan politik pada waktu tersebut.
"DBKL sebelum ini sepatutnya menjual tanah seluas 1.052 hektar kepada Pinnacles Homes SP Sdn Bhd pada harga RM30.48 juta. Namun pada tahun 2013 YWP menyatakan hasrat untuk membangunkan tanah tersebut kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur. Tengku Adnan kemudian bersetuju dengan cadangan YWP dan mengarahkan supaya surat pelepasan diperoleh daripada Syarikat Pinnacle Homes.
"Tanah itu akhirnya dijual kepada YWP pada harga RM30.48 juta. Namun begitu, pada 3 September 2015, hakmilik lot ini telah dipindah milik kepada Pinnacle Homes. Penjualan ini membolehkan YWP memperoleh keuntungan ‘atas angin’ berjumlah RM5 juta," katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, laporan audit juga menyebut bahawa modus operandi yang sama digunakan oleh YWP bagi tanah Lot 1248 dan Lot 1254 sepanjang Jalan Imbi. Bersama-sama penjualan tanah di Jalan Radin Anum 1, YWP didakwa mengaut keuntungan ‘atas angin’ RM13.69 juta.
"Menurut prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), YWP bukan milik Kementerian atau DBKL tetapi didakwa membantu kedua-dua entiti berkenaan dalam menjalankan program sosial dan kebajikan. PAC juga tidak dibenarkan untuk mengaudit YWP kerana badan itu tidak dianggap sebagai entiti awam.
"Laporan Audit 2019 Siri 2, yang dibentangkan di Parlimen pada Selasa lalu, membidas YWP kerana menukar tanah milik DBKL berkenaan. Meskipun Tengku Adnan tidak memiliki YWP, laporan audit tersebut mendakwa terdapat unsur-unsur percanggahan kepentingan.
"Oleh itu saya mendesak YWP diaudit oleh juru audit bebas selain dibawa PAC kerana ia berkait kepentingan awam dan seterusnya RM13.69 juta dipulangkan sebagai hasil kerajaan," katanya.