Satu rakaman audio yang didedahkan semalam didakwa mirip suara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menawarkan jawatan menteri dan syarikat kerajaan kepada beberapa ahli parlimen untuk melompat parti wajar disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir mengesa siasatan dibuat segera di bawah Akta SPRM (2009). Di bawah akta tersebut, katanya, perbuatan menyogok jawatan merupakan satu kesalahan.
"Sekiranya suara tersebut adalah benar suara Tan Sri Muhyiddin Yasin, ini menimbulkan satu persoalan besar sama ada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbentuk dengan cara merasuah Ahli-Ahli Parlimen dengan jawatan.
"Berdasarkan takrifan oleh SPRM, rasuah adalah ’penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.’
"Ahli-Ahli Parlimen bertanggungjawab untuk membentuk sokongan majoriti bagi menentukan siapa yang akan menjadi kerajaan. Adakah beliau memberi suapan jawatan-jawatan untuk menjadi Perdana Menteri?" tanyanya dalam Facebook rasmi beliau
Menurut Akmal lagi, rakaman itu didakwa seolah-olah secocok dengan lantikan-lantikan yang diberi kepada pemimpin komponen PN selepas kerajaan dibentuk.
"Selepas PN mengambil kuasa, Ahli-Ahli Parlimen PN telah menerima agihan jawatan dengan lantikan 70 orang sebagai Menteri dan Timbalan Menteri serta 23 orang lagi sebagai Pengerusi GLC atau Badan Berkanun.
"Tanpa sokongan 93 orang Ahli Parlimen yang bersandarkan kepada ganjaran jawatan, adalah mustahil untuk PN membentuk kerajaan.
"Memandangkan isu ini melibatkan kedudukan kerajaan dan atas dasar kepentingan orang ramai, sewajarnya SPRM menjalankan siasatan segera bagi mengesahkan ketulenan audio tersebut
"Sekiranya audio tersebut sah, maka mereka yang menawarkan dan menerima jawatan berkenaan wajar disiasat mengikut Akta SPRM 2009," kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN itu lagi.
Rakaman yang belum disahkan itu dipercayai mengandungi ucapan pimpinan bekas parti komponen Pakatan Harapan dalam mesyuarat pada 23 Februari.
Peristiwa itu dikatakan berlaku sehari sebelum Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan sebelum Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan.
Comments