top of page

Aturan Kerja Fleksibel mudahkan sektor swasta laksana sistem kerja fleksibel

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • Apr 26
  • 1 min read

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyifatkan pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) selari dengan keperluan pasaran buruh semasa yang semakin dinamik serta memerlukan model kerja lebih adaptif, responsif dan berteraskan produktiviti


KESUMA menerusi satu kenyataan berkata, pelaksanaan AKF merangkumi model kerja hibrid, waktu kerja anjal dan susunan kerja fleksibel yang bukan sahaja memperkukuh kecekapan organisasi, malah meningkatkan kesejahteraan pekerja.


Tambah kenyataan tersebut, pelaksanaan AKF di sektor swasta perlu dilaksanakan secara tersusun, berfasa dan berasaskan garis panduan jelas selaras dengan peruntukan Akta Kerja 1955 (Seksyen 60P dan 60Q) serta peruntukan berkaitan di Sabah dan Sarawak.


"Pelaksanaan ini memberi hak kepada pekerja untuk memohon pengaturan kerja fleksibel, manakala majikan diwajibkan memberikan maklum balas bertulis dalam tempoh ditetapkan," kata KESUMA.


Kementerian itu memetik hasil dapatan TalentCorp sejak 2021 yang menunjukkan 62 peratus majikan melaporkan peningkatan produktiviti, manakala 70 peratus pekerja mencatat peningkatan kepuasan kerja hasil fleksibiliti masa dan lokasi.


"Selain itu, lebih 90 peratus organisasi turut melaporkan peningkatan penglibatan pekerja serta penurunan kadar keluar masuk pekerja antara 15 hingga 20 peratus.


"Dapatan ini membuktikan AKF bukan sahaja menyokong kesinambungan operasi organisasi, malah meningkatkan produktiviti, keseimbangan kerja-kehidupan serta pengekalan bakat negara," tambahnya.


Dalam kenyataan sama, kementerian itu turut menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar sektor swasta mempertimbangkan pelaksanaan AKF sebagai langkah strategik menghadapi cabaran ekonomi semasa termasuk kesan krisis bekalan global.


KESUMA juga menegaskan pelaksanaan AKF tidak boleh dijadikan alasan untuk pengurangan gaji atau faedah pekerja, kecuali jika dipersetujui melalui perubahan struktur waktu kerja secara menyeluruh.


Dalam masa sama, majikan turut digalakkan memperkukuh kesiapsiagaan digital pekerja bagi memastikan pelaksanaan AKF dapat dijalankan secara berkesan mengikut kesesuaian operasi masing-masing.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page