top of page

Aturan kerja anjal wajar jadi dasar kekal - Exco Selangor

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Pelaksanaan aturan kerja anjal dalam kalangan penjawat awam disifatkan sebagai langkah yang wajar dipertimbangkan untuk dijadikan dasar kekal, bukan sekadar pendekatan sementara ketika krisis tenaga global.


Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari (gambar) berkata, beliau menyambut baik inisiatif Kerajaan MADANI yang sedang mempertimbangkan pelaksanaan aturan kerja anjal termasuk bekerja dari rumah secara berperingkat dan terpilih.


Beliau berkata, langkah itu mampu membantu mengurangkan penggunaan minyak dalam kalangan rakyat, selain mengurangkan beban subsidi kerajaan yang semakin meningkat susulan kenaikan harga minyak global.


"Namun demikian, saya ingin menyeru agar Kerajaan MADANI mempertimbangkan pelaksanaan sistem aturan kerja anjal ini sebagai satu dasar jangka panjang bagi penjawat awam terpilih, dan bukan sekadar langkah sementara ketika berdepan krisis tenaga," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, aturan kerja anjal memberi manfaat besar khususnya kepada golongan penjaga yang perlu mengimbangi tanggungjawab penjagaan dan pekerjaan.


"Hal ini kerana aturan kerja anjal memberi manfaat besar khususnya kepada golongan penjaga, yang dalam masa yang sama memikul tanggungjawab penjagaan serta perlu menjana pendapatan untuk keluarga," katanya.


Tambah beliau, pendekatan itu juga mampu mewujudkan peluang lebih adil dan saksama kepada golongan berkenaan untuk terus kekal serta maju dalam kerjaya, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi keluarga.


Anfaal berkata, kepentingan aturan kerja anjal turut digariskan dalam Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024–2026 bagi merapatkan jurang gender dalam pasaran buruh.


Dalam pada itu, beliau turut menggesa sektor swasta agar melaksanakan aturan kerja anjal secara lebih meluas demi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif dan mesra keluarga.


"Data daripada TalentCorp menunjukkan bahawa produktiviti dan kualiti hidup majoriti pekerja sama ada meningkat atau kekal stabil dengan pelaksanaan aturan kerja anjal," katanya.


Beliau menambah, pendekatan tersebut selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang memperkasa pelaksanaan aturan kerja fleksibel termasuk melalui garis panduan yang disediakan oleh Kementerian Sumber Manusia.


"Dalam mendepani ketidaktentuan global, pendekatan seperti ini bukan sahaja membantu mengurangkan impak krisis semasa, tetapi juga membina asas kepada ekosistem kerja yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mesra keluarga," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page