Atlet para negara terima Insentif Kemenangan Sukan Remaja Para Asia 2025
- Suara Keadilan
- 8 hours ago
- 1 min read

Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Temasya Sukan Remaja Para Asia 2025 yang berlangsung baru-baru ini menjadi simbol penghargaan terhadap kejayaan cemerlang atlet muda para negara yang mengharumkan nama Malaysia di Dubai.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh kontinjen atlet muda para atas pencapaian membanggakan mereka di temasya berprestij peringkat Asia itu.
"Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua atlet muda para negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di Temasya Sukan Remaja Para Asia 2025 di Dubai," katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Chery Malaysia atas komitmen dan sokongan berterusan menaja insentif kemenangan kepada semua pemenang pingat.
"Sumbangan ini bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap pencapaian atlet, malah menjadi dorongan penting untuk mereka terus melangkah lebih jauh dan bersaing di pentas antarabangsa," ujarnya.
Menurut Dr Taufiq, kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta amat penting dalam memastikan pembangunan sukan para negara dapat dilaksanakan secara mampan dan menyeluruh.
"Kerajaan akan terus komited memperkukuh ekosistem sukan para negara, termasuk memastikan bakat-bakat muda ini menerima sokongan berterusan selari dengan aspirasi melahirkan atlet bertaraf dunia," tegasnya.
Beliau menambah, kejayaan atlet muda para negara ini wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda bahawa kekangan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.





