Atlet kebangsaan gagal ke sukan Olimpik, mana pasukan pelapis?
- Suara Keadilan

- Feb 17, 2024
- 2 min read

Pengurusan sukan negara sering dihadapkan soalan yang sama sejak bertahun tahun lalu, iaitu di manakah barisan pelapis selepas atlet kebangsaan sedia ada semakin berusia atau tidak lagi sesuai dihantar ke kejohanan antarabangsa.
Hal ini ditimbulkan oleh aktivis KEADILAN, Yuslaini Azmi menanggapi kegagalan altlet negara Pandalela Rinong melayakkan diri ke ke Sukan Olimpik Paris dalam acara terjun 10 meter papan anjal baru baru ini.
Menurut Yuslaini, tidak jarang persatuan sukan menghentam atlet mereka sendiri tanpa mengira sumbangan atlet berkenaan kepada negara akibat kegagalan melayakkan diri ke kejohanan yang berprestij.
"Saya maklum setiap atlet perlu mencapai KPI tertentu sebelum mereka layak untuk mendapatkan slot ke Program Podium yang menawarkan kelebihan tertentu buat atlet.
"Namun begitu dalam hal ini, setiap persatuan sukan juga perlu mencapai KPI tersendiri untuk mendapatkan peruntukan daripada pihak kementerian. Sebagai contoh menghasilkan atlet pelapis setiap tahun supaya dapat menjadi pencabar kepada atlet elit sedia ada.
"Malangnya jika dilihat hari ini, setiap persatuan sukan hanya sibuk mengurus atlet elit tetapi mengabaikan pengurusan bakat akar umbi, malah seringkali gagal mencari pelapis yang dinantikan seperti di BAM dan kini Persekutuan Renang Malaysia (MAS).
"Apabila atlet elit mereka bermasalah, seolah-olah tiada lagi atlet yang mampu diketengahkan dan ini adalah bukti kegagalan dalam menguruskan bakat di bawah persatuan mereka," katanya dalam satu kenyataaan.
Buat persatuan renang kebangsaan, Yuslaini bertanya di manakah atlet pelapis terjun atau renang negara kerana selepas 20 tahun Malaysia masih mengharapkan kepada atlet elit yang sama.
Beliau tertanya tanya, adakah KPI persatuan sukan hanya bergantung kepada seorang atlet sahaja?
"Setiap persatuan sukan harus sedar diri, mereka tidak boleh bergantung pada atlet yang sama dan perlu mencari atlet pelapis setiap tahun.
"Bukannya mengharapkan pada atlet elit yang sama kerana pada akhirnya atlet tersebut juga akan bersara apabila tiba masanya," tambah Yuslaini.
Justeru, beliau berharap pada era pemerintahan Kerajaan Madani pengurusan sukan negara akan lebih cemerlang dan persatuan sukan perlu dipastikan memiliki bakat bakat pelapis yang secukupnya sebelum diberi bantuan penuh oleh kerajaan.









Comments