Atasi kepadatan: KPM bina 10 bilik darjah baharu di SMK Bandar Seri Putra
- Suara Keadilan

- Jan 12
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) akan membina 10 bilik darjah tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra, Selangor sebagai langkah penyelesaian jangka pendek dan sederhana bagi menangani isu kepadatan murid di sekolah berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pembinaan bilik darjah tersebut akan dilaksanakan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang terbukti lebih cepat dan berkesan untuk memastikan keselesaan serta keberkesanan pembelajaran pelajar tidak terjejas.
"Isu kepadatan murid di SMK Bandar Seri Putra memberi kesan langsung kepada keselesaan dan kualiti pembelajaran.
"KPM turut merancang pembinaan bangunan tambahan dua tingkat menggunakan kaedah IBS di sekolah ini," katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Terdahulu, Fadhlina turun padang meninjau keadaan sekolah berkenaan serta mengadakan perbincangan bersama pihak pentadbiran sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Bahagian Pembangunan KPM.
Ia sebagai usaha mencari penyelesaian menyeluruh terhadap masalah yang diajukan ibu bapa pelajar.
Sementara itu dalam kenyataan sama, beliau turut mengingatkan pihak pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan JPN supaya mengubah disiplin kerja serta mengelakkan budaya bertindak hanya apabila isu menjadi tular.
Menurutnya, semua pihak berkaitan perlu lebih peka, responsif terhadap aduan rakyat serta cekap mengurus persepsi dan keperluan masyarakat demi kepentingan pendidikan anak-anak.




Comments