Atasi keciciran murid, SiPKPM diperkasa dengan teknologi AI
- Suara Keadilan
- Feb 13
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) telah membangunkan Sistem Pengesanan Murid KPM (SiPKPM) sebagai sebahagian strateginya menangani keciciran murid.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh di Dewan Rakyat pada Rabu menegaskan, usaha menangani keciciran akan terus menjadi fokus serta agenda utama KPM sepanjang masa.
"Kementerian tidak akan berkrompomi terhadap isu kehadiran, keciciran dan akses pendidikan yang berkualiti bagi setiap murid tanpa mengira latar belakang.
"Melalui pengesanan awal, KPM boleh melaksanakan intervensi secara berfokus dan bertindak di peringkat lebih awal," katanya dipetik pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof sebelumnya ingin tahu langkah proaktif kementerian untuk mengatasi isu berkaitan keciciran dan akses pendidikan yang berkualiti bagi setiap kanak-kanak warganegara Malaysia.
SiPKPM mampu mengesan pergerakan murid secara komprehensif, termasuk murid yang berisiko cicir, murid cicir, dan kanak-kanak yang berisiko untuk tidak mendapat akses pendidikan
Menurut Kah Woh, sistem tersebut juga sedang diperkukuhkan dengan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan strategi menangani keciciran.
Sementara itu tambahnya, KPM juga melaksana langkah proaktif termasuk Program Ziarah Cakna yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan, hala tuju pendidikan dan bimbingan kerjaya kepada murid yang berisiko.
"Selain itu, agenda menangani keciciran turut diperkasakan melalui penyediaan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC), modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI) serta modul kajian kes dan amalan terbaik sebagai panduan kepada guru bimbingan dan kaunseling dalam membantu murid berisiko cicir yang memerlukan bimbingan.
"Pada tahun lalu, program ini berjaya mengembalikan 883 murid sekolah rendah dan 1,990 murid sekolah menengah ke dalam sistem pendidikan," jelasnya.
Comments