Asrama Yayasan Terengganu Kemaman diganti sekolah swasta dipersoalkan
- Suara Keadilan
- 15 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu memandang serius cadangan penggantian Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) kepada Sekolah Menengah Imtiaz (Swasta).
Pengerusi MPN KEADILAN Terengganu, Dr Zainuddin Awang@Omar berpandangan, langkah tersebut tidak wajar disokong selagi tiada jaminan jelas bahawa pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana khususnya golongan B40, akan terus mendapat peluang pendidikan yang adil dan setara.
Beliau berkata, Asrama Yayasan Terengganu selama ini berperanan sebagai instrumen mobiliti sosial yang penting kepada pelajar luar bandar dan keluarga B40 dengan menyediakan kemudahan asrama dan sokongan pendidikan yang mampu diakses.
Ujarnya, penggantian kepada institusi berstatus swasta menimbulkan persoalan serius berkaitan kemampuan ibu bapa menanggung kos yuran, penginapan dan perbelanjaan lain yang lazimnya lebih tinggi berbanding institusi pendidikan awam atau separa awam.

"Walaupun permintaan ke Sekolah Menengah Imtiaz dilaporkan mencecah sekitar 5,000 permohonan setiap tahun, jumlah permohonan yang tinggi tidak boleh dijadikan alasan untuk memperkenalkan model pendidikan yang berpotensi mengehadkan akses kepada golongan kurang berkemampuan.
"Pendidikan berkualiti tidak seharusnya menjadi hak eksklusif kepada mereka yang mampu, sebaliknya perlu dijamin secara inklusif kepada seluruh rakyat Terengganu.
"Lebih membimbangkan, Kerajaan Negeri sendiri telah menyatakan semasa pembentangan Belanjawan Terengganu 2026 bahawa negeri mencatat lebihan kewangan sebanyak RM1.938 bilion.
"Persoalan yang wajar ditanya ialah lebihan besar itu digunakan untuk tujuan apa, dan mengapa ia tidak dimanfaatkan untuk mengekalkan serta memperkukuh kemudahan pendidikan awam seperti Asrama Yayasan Terengganu demi memastikan akses pendidikan berkualiti untuk pelajar B40 terus terjamin?" soal beliau dalam satu kenyataan.
Susulan itu, beliau menegaskan kerajaan negeri perlu menjelaskan secara terbuka pelan penggunaan lebihan belanjawan itu, termasuk justifikasi mengapa pilihan dibuat untuk beralih kepada model pendidikan swasta, sedangkan negeri mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh untuk memperkukuh sistem pendidikan awam dan kebajikan pelajar kurang berkemampuan.
"Kami mencadangkan agar Kerajaan Negeri menilai semula keputusan ini dan mempertimbangkan pendekatan yang lebih inklusif, sama ada dengan mengekalkan fungsi awam Asrama Yayasan Terengganu atau mewujudkan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA).
"Model kerjasama seperti MRSM–Yayasan Terengganu yang pernah dilaksanakan sebelum ini membuktikan bahawa pendidikan berkualiti boleh diperluaskan tanpa mengorbankan prinsip keadilan sosial.
"Kami percaya bahawa dasar pendidikan negeri mesti berpaksikan kebajikan pelajar, kesaksamaan peluang dan penggunaan sumber kewangan negeri secara bertanggungjawab.
"Masa depan anak-anak Terengganu, khususnya daripada keluarga B40, tidak boleh dipertaruhkan melalui dasar yang berisiko melebarkan jurang pendidikan," tegas beliau lagi.





