Sektor pelancongan, khususnya berkaitan pantai harus mengutamakan aspek kebersihan untuk menarik lebih banyak pengunjung dan mengangkat destinasi sedia ada ke taraf yang lebih baik.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam sesi 'Bicara Santai bersama Ahli Parlimen Port Dickson di Ambang Tahun Baharu 2021, kelmarin.
Menurut beliau, tahap kebersihan pantai di Port Dickson masih belum benar-benar memuaskan ekoran sikap pengunjung pantai yang masih membuang sampah merata-rata.
"Kebersihan, kita sebagai seorang muslim dan juga rakyat Malaysia, kalau tidak menjaga bermakna melanggar juga beberapa peraturan dan perintah agama.
"Pada peringkat awal, 2 tahun lalu sambil jogging dan saya kutip plastik dan saya rasa aneh betul pengunjung yang tidak peduli (kebersihan), dia akan datang lagi, kawan-kawan dia akan datang.
"Saya kutip sampah depan pelancong yang melemparkan sampah. Ini satu pengajaran. Ramai lepas itu, artis, penjawat awam dan kedutaan Thailand buat satu program kebajikan, pergi ke pantai itu untuk membersihkan. Tak malu ke kita? Tetapi alhamdulillah, (selepas itu) kesedaran orang Port Dickson ada perubahan besar. Cuma belum memuaskan. (Bila) kita bicara soal agama maka termasuklah akhlak, etika dan kebersihan," katanya dalam siaran langsung Facebook.
Bagaimanapun, Presiden KEADILAN itu berpuas hati dengan langkah majlis perbandaran yang menyediakan tong-tong sampah bagi memudahkan pengunjung membuang sampah.
Katanya, sekiranya pengunjung masih tidak mengubah sikap, pendekatan yang lebih tegas wajar dikuatkuasakan.
"Kita telah beri kesedaran, campak juga patut lebih ketat hukumannya. Penguatkuasa tidak patut tolak ansur dan menghukum.
"Kalau pantai Port Dickson itu dilihat antara yang paling bersih, ini akan membuat orang tertarik nak pergi ke pantai, berenang atau bersukan dengan keluarga," katanya.
Berkenaan masalah saliran yang terus ke laut dari premis tepian pantai, Anwar berpuas hati dengan keadaan yang bertambah baik selepas beliau memberi teguran.
Anwar juga memuji Majlis Perbandaran Port Dickson yang membenarkan penjaja kecil menjalankan perniagaan sekali gus menambah pendapatan penduduk sekitar.
"Peniaga kecil, saya ucap tahniah kepada majlis perbandaran kerana memberikan ruang yang besar bagi peniaga kecil. Terutama hujung minggu dan musim percutian. Cuma amaran kepada mereka agar menjaga kebersihan," katanya lagi.
Comments