Golongan asnaf di negara ini perlu diberi latihan atau skil kemahiran bersesuaian bagi menjadikan mereka golongan berdikari dan mampu menjana pendapatan sendiri.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata demikian dalam majlis meraikan 30 asnaf bersama ahli keluarga mereka di Majlis Graduasi MyREF Hijrahpreneur Skills Program (MyREF HSP) yang diadakan di Auditorium High Impact Research, Universiti Malaya semalam.
Menurut Zulkifli, sasaran perlu diletakkan dalam setiap proses serta usaha untuk membangunkan asnaf bagi menjadikan mereka berdikari dan keluar dari rantaian kemiskinan, selari dengan konsep Kerajaan Madani mahu menokhtahkan kemiskinan.
"Konsep yang diketengahkan oleh MyREF di dalam program ini, dengan mekanisme kawalan dan KPI yang ditetapkan untuk peserta amat tepat dengan visi kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan," kata beliau dalam ucapannya semasa merasmikan Majlis Graduasi Program MyREF HSP itu.
Keunikan program MyREF HSP terserlah melalui pendekatan berstruktur dalam pembangunan silibus dan modul, pengajaran dan pembelajaran, konsep mentor – mentee, pemantauan serta penetapan KPI dan mekanisme kawalan yang komprehensif bagi memastikan kesan optimum dapat dicapai di akhir program.
Selain itu, peserta program turut diberikan insentif tunai dan peralatan yang disumbangkan oleh Etiqa Family Takaful Berhad dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
MyREF HSP merupakan inisiatif strategik yang dilaksanakan oleh MyREF, Etiqa Family Takaful Berhad dan Universiti Malaya dengan objektif untuk membangunkan asnaf dalam aspek Pentadbiran Perniagaan dan Ekonomi Digital.
Kandungan program MyREF HSP yang terdiri daripada tiga modul utama memberikan tumpuan khusus kepada keusahawanan digital, pentadbiran perniagaan dan persijilan Halal serta keselamatan makanan, khusus untuk mereka yang terlibat dalam perniagaan makanan dan minuman.
Majlis semalam juga menyaksikan penyerahan zakat pendapatan terkumpul sebanyak RM2,350 oleh graduan program MyREF HSP kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan penyerahan sumbangan oleh Etiqa Family Takaful Berhad kepada MyREF berjumlah RM347,110 untuk pelaksanaan program MyREF HSP sesi seterusnya.
Turut memeriahkan majlis adalah Ketua Pegawai Eksekutif MyREF, Mohd Khairuddin Rais, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman dan Pengerusi Kluster Penyelidikan Universiti Malaya, Profesor Ir. Dr. Hazlie Mokhlis.
Bersama hadir ialah Ahli Jawatankuasa Shariah Etiqa Family Takaful Berhad, jurulatih-jurulatih MyREF dan kakitangan akademik Universiti Malaya yang terlibat dengan program MyREF HSP.
Comments