Asia kekal tonggak jayakan peralihan tenaga global - Anwar
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Asia kekal sebagai tonggak utama dalam menjayakan transisi tenaga global dengan pendekatan realistik dan adil, walaupun berdepan cabaran geopolitik serta krisis iklim.
Perdana Menteri berkata cabaran terkini ialah sesetengah pihak meragui perkembangan tarif Amerika Syarikat (AS) dan tercetus peperangan di Timur Tengah akibat serangan ganas Israel ke atas Iran.
"Namun begitu...Asia masih menjadi kekuatan utama yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi – berpaksikan sikap dan pendirian kita terhadap tenaga secara lebih realistik.
"Kita masih memerlukan pendekatan dan kaedah konvensional kerana pertumbuhan ekonomi yang pesat...tetapi kita juga harus menerima hakikat bahawa transisi ke arah alternatif yang lebih sihat tetap perlu diteruskan," kata beliau ketika berucap pada
Persidangan Energy Asia 2025 anjuran Petronas di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Pengerusi Petronas Tan Sri Tengku Mohammad Taufik Tengku Aziz, Setiausaha Agung OPEC Haitham Al Ghais, dan tokoh industri seperti Ornusal Soyer serta Daniel Yergin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menggesa pembentukan kerangka kewangan yang jelas dan mampan untuk menarik pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Beliau menekankan perkara itu memandangkan Asia Tenggara hanya menerima 2% pelaburan tenaga bersih global pada tahun 2023 meskipun rantau ini mempunyai potensi besar dalam sektor itu.
"Angin di Vietnam, hidro di Laos, solar di Malaysia dan geoterma di Indonesia. Tapi pelaburan tidak seiring dengan potensi," katanya.
Berdasarkan laporan Asia‑Pacific Energy Transition Outlook oleh Wood Mackenzie, Asia Pasifik dijangka mengekalkan sekitar 50% daripada permintaan tenaga global sehingga 2050, mencerminkan lonjakan yang signifikan sejak 2024.
Kajian sama juga menunjukkan bahawa rantau Asia Pasifik menyumbang kira‑kira 60% daripada pelepasan karbon global dan trend ini dijangka berterusan sehingga pertengahan abad ini .
Di Malaysia kata Perdana Menteri berkata jurang pelaburan itu ditutup melalui dasar Skim Pembekalan Tenaga Boleh Perbaharui Korporat (CRESS) dan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau.
"Sokongan kedua ialah menaik taraf grid elektrik. Dalam Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini, kita telah mempercepat Inisiatif Grid Kuasa ASEAN melalui memorandum persefahaman dan penubuhan kemudahan pembiayaan khas.
"Ini akan memperkukuh aliran dana rentas sempadan dan memajukan pasaran tenaga serantau yang saling berhubung," ujarnya.
Dalam hal ini katanya Tenaga Nasional Berhad komited memperuntukkan RM43 bilion untuk menaik taraf infrastruktur grid nasional, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan sistem penyimpanan tenaga bateri untuk ketahanan dan fleksibiliti masa hadapan.
Beliau berkata negara perlu melabur bagi memastikan akses menyeluruh kepada tenaga yang mampu milik dan boleh dipercayai kerana ia adalah asas kepada transisi tenaga yang adil.
"Usaha nyahkarbon yang mengabaikan golongan miskin hanya akan memperdalam ketidaksamaan," jelasnya.
Anwar berkata ASEAN sudah meletakkan kerja asas kepada pendekatan prakmatik ini melalui Pelan dan Kerangka Pelaksanaan Pengambilan dan Penyimpanan Karbon (CCS) bagi memperkemas dasar serta memudahkan aliran modal dan karbon rentas sempadan.
"Malaysia sedang melaksanakan bahagian tugasnya. Petronas menerajui perkara itu dengan rancangan membina tiga hab CCS di perairan Malaysia, bukan hanya untuk sektor minyak dan gas tetapi juga industri lain yang sukar dinyahkarbon," katanya.
"CCS bukan sahaja alat nyahkarbon utama tetapi juga berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu untuk rantau ini."
Comments