top of page

Asheeq Ali keluar KEADILAN, kerusi Batu jadi tumpuan PRU-16

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
May 16
2 min read
Datuk Azman mahu KEADILAN Batu segera menguruskan proses peralihan selepas Asheeq Ali berundur
Datuk Azman mahu KEADILAN Batu segera menguruskan proses peralihan selepas Asheeq Ali berundur

Pengunduran mengejut Asheeq Ali Sethi Alivi daripada semua jawatan parti serta keahlian KEADILAN berkuat kuasa serta-merta mencetuskan perhatian baharu kerusi Parlimen Batu yang kini dilihat semakin strategik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).


Asheeq yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Cabang KEADILAN Batu dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Wilayah Persekutuan mengumumkan pengundurannya ketika spekulasi mengenai hala tuju kepimpinan dan calon utama parti di kawasan bandar utama semakin hangat diperkatakan.


Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin berkata, pihaknya menghormati keputusan Asheeq dan menghargai segala sumbangan beliau sepanjang bersama parti.


"KEADILAN Wilayah Persekutuan akan menguruskan proses peralihan ini dengan baik dan teratur. Perbincangan dalaman juga telah dimulakan bersama kepimpinan Cabang Batu termasuk Timbalan Ketua Cabang bagi memastikan kesinambungan organisasi dan gerak kerja parti di kawasan tersebut berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Azman menegaskan perubahan kepimpinan merupakan lumrah dalam sebuah parti demokratik dan perjuangan parti tidak bergantung kepada mana-mana individu semata-mata.


"Sepanjang sejarah perjuangannya, KEADILAN telah melalui pelbagai fasa cabaran termasuk melihat pemimpin datang dan pergi.


"Namun kekuatan parti ini sentiasa berdiri atas semangat perjuangan yang konsisten serta dukungan akar umbi yang terus teguh bersama parti," katanya lagi.


Pengunduran Asheeq itu hadir ketika kerusi Parlimen Batu disebut-sebut berpotensi menjadi antara kerusi tumpuan utama PRU-16 termasuk dikaitkan dengan kemungkinan menjadi platform kepada pemimpin kanan KEADILAN untuk bertanding.


Ketika ini seluruh kepimpinan KEADILAN tertumpu kepada intipati utama dan halatuju parti menjelang Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru esok.


Sebelum ini, pemerhati politik melihat Batu sebagai kawasan strategik berikutan komposisi pengundi muda dan urban yang signifikan, selain sejarah persaingan sengit melibatkan beberapa tokoh besar politik nasional.


Perkembangan terbaharu ini dijangka mencetuskan lebih banyak persoalan mengenai percaturan dalaman parti, khususnya siapa yang bakal mengisi kekosongan kepimpinan di Batu serta kemungkinan penyusunan semula strategi menjelang PRU-16.


Kerusi Parlimen Batu antara kawasan paling berprofil tinggi di Kuala Lumpur sejak PRU-14 kerana sering menjadi medan pertembungan tokoh besar politik, isu dalaman parti dan pertandingan luar biasa sengit.


Pada PRU 2018, kerusi Batu dimenangi calon Bebas, P Prabakaran dengan majoriti 24,438 undi selepas bekas Ahli Parlimen kawasan itu, Tian Chua hilang kelayakan bertanding susulan keputusan mahkamah.


Walaupun bertanding sebagai Bebas, Prabakaran mendapat sokongan penuh KEADILAN dan Pakatan Harapan ketika itu.


Terdahulu, Batu dianggap kubu kuat KEADILAN selepas Tian Chua menawan kerusi berkenaan pada PRU tahun 2008 dengan menewaskan calon Barisan Nasional daripada Gerakan.


Beliau kemudian mempertahankan kerusi itu pada PRU-13, menjadikan Batu sinonim dengan perjuangan reformasi dan politik bandar progresif.


Pada PRU-15, Batu menjadi perhatian nasional apabila mencatat pertandingan 10 penjuru melibatkan Prabakaran mewakili PH-KEADILAN, Tian Chua sebagai calon Bebas, calon BN, PN, Warisan, Pejuang serta beberapa calon Bebas lain termasuk peguam Siti Kasim dan pempengaruh media sosial Cleopatra.


Kerusi Batu juga sering dianggap strategik kerana komposisi pengundinya yang bersifat urban dan bercampur, dengan hampir separuh pengundi Melayu selain kelompok pengundi Cina dan India yang signifikan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page