top of page

Aset TH masih di tangan kerajaan, akan dipulangkan kepada TH - PM


Oleh: Abdullah Zaid


Kementerian Kewangan (MOF) memberi jaminan untuk menyerahkan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang diletakkan di bawah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) kepada Tabung Haji (TH).


Menterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas kementerian berpuas hati dengan isu pengurusan yang terus memulih, selepas TH bergelut dengan isu kepincangan melibatkan pengurusan kewangan yang terbongkar pada 2018 lalu.


Katanya, dengan penyerahan semula aset TH itu maka membuktikan dakwaan pihak tertentu, khususnya ahli politik Pas kononnya aset TH sudah digadai kepada bukan Islam adalah tidak benar sama sekali.


"Penelitian awal sejak saya ambil jawatan ini (Menteri Kewangan), sebaik TH diurus dengan baik dan menyakinkan, maka MOF akan memulakan perbincangan menyerahkan semula aset yang kini diamanahkan SPV kepada TH.


"Ini juga untuk mematikan fitnah kepada Menteri Kewangan dan kerajaan pada ketika itu (PH), yang kononnya sudah memindahkan aset ini kepada bukan Islam," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Lembaga TH yang ke-60 di Menara TH, hari ini.


Pada Mac 2019, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan langkah memindahkan aset RM19.9 bilion kepada SPV dibuat bagi menyelamatkan institusi kewangan Islam itu daripada dibebani liabiliti.


Liabiliti TH melebihi aset sebanyak RM10 bilion itu menyebabkan TH tidak mampu untuk membayar hibah kepada ahlinya.


TH mempunyai hampir sembilan juta pendeposit serta 123 cawangan dengan lebih 10,000 reruai di seluruh negara dan mempunyai sebuah pejabat yang beroperasi di Jeddah, Arab Saudi.


Untuk rekod, ketika Kerajaan Pakatan Harapan memerintah pada 2018 - 2020 lalu, pembangkang khususnya Pas membuat tohmahan kononnya Menteri Kewangan ketika itu dari DAP, Lim Guan Eng telah menjual aset TH kepada kaum Cina melalui SPV.


Dengan pemulangan semula aset berkenaan, membuktikan aset tersebut masih di tangan kerajaan dan bukannya pemodal Cina sebagaimana ditohmah.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page